Advertisement

'Bayi lelaki itu bukan milik Farid dan Diana Danielle'

KECOH satu Malaysia Ahad lalu tentang berita pelakon berdarah kacukan Melayu Inggeris Diana Danielle yang dikhabarkan sudah menimang seorang putera di sebuah hospital di Sydney, Australia pada hujung Mei lalu. Spekulasi mula tercetus dan lebih rancak apatah lagi suami Diana, Farid Kamil memuat naik gambar beliau memeluk dan mencium seorang bayi di laman Facebook peribadinya petang Ahad lalu.

Lagi kecoh dibuatnya apabila foto tersebut disertakan dengan 'caption' yang berbunyi 'welcome to the world - my boy' sekaligus menguatkan spekulasi yang bayi itu adalah anak kandung pasangan sama cantik sama padan yang mula bergelar suami isteri pada awal November lalu.

Usaha Yahoo! Malaysia untuk mendapatkan Farid serta kaum keluarga Diana termasuk ibunya untuk mendapatkan pengesahan juga tidak mendatangkan hasil. Panggilan demi panggilan dan mesej Whatsapp dan SMS dilayangkan pada telefon bimbit Farid namun kesemuanya tidak berbalas.



Akhirnya usaha kami diteruskan dengan menghubungi  penerbit Metrowealth International Group (MIG) David Teo bagi mendapatkan pengesahan. Teo akhirnya mengesahkan yang bayi tersebut bukan milik Diana-Farid seperti yang digembar-gemburkan.

Memetik artikel Berita Harian pada Isnin, bayi comel yang menjadi topik hangat hujung minggu lalu anak kandung kepada adik Farid, Dr Anis Anwar Azahari yang diberi nama Aidid Abdyllah Anis.

"Saya baru saja melawat Farid di kediamannya di Bandar Saujana Putra pada Rabu minggu lalu. Bagaimana pula dia masih ada di Kuala Lumpur jika isterinya sudah bersalin di Sydney. Tak masuk akal. Dia masih tidak boleh bergerak dan masih berehat di rumah dan mengikut jangkaan akan dapat kembali bekerja dalam masa seminggu ini," kata Teo.

BACA:
Farid Kamil tampil beri penjelasan isu bayinya

Adakah Diana Danielle sudah bersalin?
Diana Danielle tampil memberi penjelasan isu hamil
Farid Kamil enggan bawa Diana Danielle bertemu doktor

Menurut Teo yang merupakan sahabat baik pasangan itu, lawatannya ke rumah Farid juga untuk memberi nasihat kepada Farid mengenai perihal imigresen dan kerakyatan selepas anaknya lahir kelak.

Beliau juga menambah yang Farid serta keluarga Diana sudah bersetuju untuk Diana bersalin di kota Sydney bagi memudahkan Diana yang memang sudah menetap di sana kerana menyambung pengajian di sebuah universiti di sana.

"Saya berpengalaman mengenai perkara ini kerana pernah melaluinya ketika isteri abang saya bersalin di Jakarta, Indonesia beberapa tahun lalu. Banyak proses yang perlu diambil kira jadi apa salahnya saya menasihati Farid pula," kata Teo.

Jika betul pengiraan, Diana yang ketika ini menyambung pelajaran di dalam Sarjana Muda Asas dan Rekaan di University of Sydney akan bersalin dalam tempoh sebulan dua ini.

Jika dilihat laman sosial Keeknya, aktres itu nampaknya sedang sibuk dengan sesi ujibakat bagi pementasan teater Inggeris hasil nukilannya sendiri untuk tugasan universitinya.