Siti Nurhaliza kembali ke Royal Albert Hall?


DALAM kesibukan menjalani rutin harian sebagai penghibur kesayangan tanahair, Datuk Siti Nurhaliza tidak pernah lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.

Beliau dikhabarkan lebih selesa menemani suami tercinta, Datuk Khalid Jiwa atau lebih mesra disapa "Datuk K" yang kini berehat di rumah selepas terlibat dalam kemalangan jalanraya ketika mengikuti konvoi motorsikal berkuasa tinggi di Queenstown, New Zealand pada 13 Disember yang lalu.

Menurut sumber terdekat Siti, penyanyi itu mengambil keputusan untuk membataskan rutin nyanyiannya selama dua jam jika perlu demi meluangkan masa bersama suami yang semakin pulih dari kecederaan.

 "Memang Siti ada memberitahu yang beliau akan kembali aktif sepenuhnya April ini tetapi suaminya masih memerlukan perhatian penuh dari Siti. Doktor ada menasihati Khalid untuk terus menjalani sesi fisioterapi dan sebagainya bagi membolehkan Khalid sembuh sepenuhnya dalam masa yang terdekat," ujar sumber tersebut.

BACA: Keadaan Datuk K semakin pulih, kata Siti Nurhaliza
BACA: Siti Nurhaliza batal konsert untuk bersama Datuk K
BACA: Siti Nurhaliza rancang konsert kedua di London?

Ketika ditanya mengenai perancangan Siti untuk beraksi buat kali kedua di pentas gemilang Royal Albert Hall, London, sumber itu berkata, bahawa hasrat itu hanya terbit sebagai idea sahaja dan tidak menolak kemungkinan bahawa ia bakal menjadik kenyataan.

"Tidak salah untuk menyimpan impian, bukan? Dua tahun dari sekarang  genaplah 10 tahun Siti menjayakan konsert ulung beliau di Royal Albert Hall. Buat masa ini, pihak pengurusan Siti tidak ada apa-apa yang boleh dikongsi dengan peminat samada beliau bakal beraksi buat kali kedua di pentas tersebut.  Namun begitu, kita doakan agar Siti tetap dapat mencapai impian tersebut suatu hari nanti, insya-Allah," katanya.

Penyanyi kesayangan ramai itu memang dikenali sebagai artis yang tidak boleh duduk diam. Selain menemani suami, Siti juga dikatakan sedang sibuk mengembangkan empayar jenama produk kecantikan dan kosmetik SimplySiti yang telah berada di pasaran sejak tahun 2010.