1 Jul – Penyanyi yang mencipta nama menerusi lagu "Chasing Pavements" dan "Rolling In The Deep", Adele dan teman lelakinya, Simon Konecki bakal menimang cahaya mata sulung pertama bersama.
Berita gembira ini diumumkan oleh Adele menerusi laman sesawang miliknya pada 29 Jun lalu.
"Saya ingin mengumumkan bahawa Simon dan saya bakal menimang anak sulung pertama kami. Saya ingin anda mendengar berita tersebut daripada saya sendiri.
"Sudah tentu kami sangat gembira dan juga teruja, tetapi diharapkan anda dapat menghormati privasi kami buat masa ini," kata penyanyi berusia 23 tahun ini.
Adele pernah memberitahu People bahawa dia ingin memiliki tiga orang anak lelaki sebelum berusia 30 tahun.
"Saya benar-benar ingin menjadi seorang ibu. Saya harus mulakannya!"
Pasangan ini mula dikhabarkan bercinta sekitar Januari tahun ini selepas Adele dilihat bersama Konecki. Pada bulan Februari, Konecki, 38, telah menemani Adele ke Anugerah Grammy di mana dia berjaya memenangi enam anugerah untuk album "21".
Konecki mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinannya terdahulu.


