23 Okt – Hasil dari hubungan cinta bersama Simon Konecki, penyanyi Adele kini sudahpun bergelar ibu setelah melahirkan anak sulungnya pada hari Jumaat yang lepas.
Menurut laman Vogue, anak lelaki yang selamat dilahirkan itu masih belum diberi nama lagi.
"Kami tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini," ujar pihak publisiti Adele, berikutan dari pertanyaan para media.
Pada bulan Jun yang lalu, Adele telahpun mengumumkan berita kehamilan beliau menerusi laman rasminya sendiri, yang berbunyi: "Dengan rasa gembira saya ingin umumkan bahawa Simon dan saya sedang menunggu kedatangan anak kami yang pertama. Saya inginkan anda mendengar berita tersebut dari saya sendiri. Secara jelasnya, kami sangat teruja tetapi kami meminta jasa anda untuk menghormati hal peribadi kami buat masa ini. Yang benar, Adele."
Walaupun lagunya digunakan sebagai lagu tema filem James Bond terbaru yang berjudul "Skyfall", penyanyi berumur 24 tahun itu tidak dapat menghadiri majlis tayangan perdana filem tersebut yang bakal berlangsung pada malam ini di London.


