Adi Putra lega kes skandal digugurkan

Adi Putra lega kes skandal digugurkan

13 Dis – Aktor popular Adi Putra mengakui lega selepas Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menggugurkan kes skandal melibatkan dirinya dengan isteri seorang ahli perniagaan dari Johor pada September lalu.

Dalam satu sidang media khas yang berlangsung pada malam Khamis di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Adi memberitahu pihak peguamnya memaklumkan hasil siasatan rasmi polis sejak empat bulan lalu telah diklasifikasikan sebagai 'no further action' (NFA) atau tiada tindakan lanjut, sekaligus membuktikan dirinya tidak bersalah.

Malah Adi atau nama sebenarnya Mohamed Hadi Putera Halim turut mendakwa dia mengetahui sebab mengapa keputusan pihak polis menyebelahinya, tetapi enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

"Ada sebab mengapa kes ke atas saya digugurkan, tetapi tidak manis jika saya dedahkan di sini. Lagi pun hasil siasatan polis adalah sulit.

"Apa yang pasti, kes yang disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan ini telah selesai dan tiada apa-apa pertuduhan ke atas diri saya," ujarnya.

Pada masa yang sama, aktor berusia 32 tahun berasal dari Singapura ini memberitahu tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang cuba memfitnahnya lagi.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan wanita yang dikaitkan dengannya itu ingin membuat sidang media pada hari ini, Adi berkata, beliau tiada hak untuk menghalangnya tetapi akan mengambil perintah injunksi mahkamah sekiranya wanita itu cuba memburukkannya lagi.

Adi telah ditemani oleh isterinya Aida atau Zuhaidah Yusof, 38, dan juga tiga orang peguamnya iaitu Mohd Daud Ismail, Zamri Idrus dan Muhammad Abd. Kadir pada sidang media tersebut.

Pada September lalu, aktor "KL Gangster" ini didakwa menjalin hubungan sulit dengan isteri orang selepas suami wanita tersebut membuat laporan polis.

Adi didakwa berbalas mesej dan bertukar gambar lucah dengan wanita berusia 30 tahun itu walapun baru seminggu berkenalan menerusi laman Instagram.

[Kredit gambar: Malaysian Digest]