4 Jul – Pelantun lagu hits 'Ilusi', Adira, 20 menafikan dirinya telah melakukan suntikan pada wajahnya untuk kelihatan cantik, seperti yang didakwa ramai pihak baru-baru ini.
Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi berkata, perubahan yang terdapat pada kulit wajahnya yang semakin hari semakin cerah dan disifatkan luar biasa itu adalah disebabkan penjagaan kulit secara semula jadi yang diamalkannya.
"Sebenarnya, ini bukan pertama kali pertama saya dengar orang bercakap kononnya saya membuat suntikan pada wajah untuk kelihatan cantik.
"Namun semuanya itu tidak benar, kerana kulit saya sekarang adalah kulit asli dan saya tidak menggunakan apa-apa bahan yang drastik selain hanya menjaga pemakanan dan penjagaan kulit. Saya hanya mengamalkan makan makanan tambahan untuk penjagaan kulit dan kesihatan diri,"jelas bekas naib juara Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) ini lagi yang dipetik dari laman hiburan Murai.
Terang Adira lagi, demi memastikan kulit wajahnya sentiasa cantik, dia akan melakukan rawatan muka sebanyak dua kali sebulan selain mengamalkan cara pemakanan sihat.
"Terus-terang, kalau hendak diikutkan, kulit saya lebih cerah ketika saya tinggal di Sabah dahulu. Selepas menetap di Semenanjung, saya harus menyesuaikan kulit saya dengan cuaca di sini yang lebih panas berbanding di Sabah.
"Kini setelah beberapa tahun tinggal di Semenanjung, kulit saya mula menerima perubahan cuaca di sini," ujarnya yang kini sedang merakamkan single terbaru dan merancang untuk melahirkan album debut tidak lama lagi.


