30 Ogos - Pendakwah bebas popular, Akhil Hayy kini dalam perancangan untuk menubuhkan sebuah produksi penerbitan filem, drama atau program berlandaskan ajaran Islam.
Ianya bukan sahaja dalam karya yang diterbitkan, tetapi turut merangkumi seluruh pekerja dan krew produksi termasuklah pelakon.
"Saya rasa sudah tiba masanya untuk industri hiburan di negara ini berubah dan sebagai permulaan saya mahu menubuhkan produksi yang bekerja dan menghasilkan karya mengikut cara Islam," katanya kepada mStar.
Menurut Akhil atau nama sebenarnya Akhil Abdul Hai, kerja-kerja penggambaran masih lagi boleh berjalan seperti biasa tetapi apabila sudah masuk waktu untuk solat, mereka akan berhenti untuk menunaikan solat.
Tambahnya lagi, pelakon-pelakon juga tidak perlu bersentuhan untuk menjayakan sesebuah watak, namun jika perlu, mereka akan mencari inisiatif lain bagi menjayakan babak tersebut.
Akhil berkata, dengan konsep seperti ini, ia dapat mengajak semua umat Islam dalam produksi itu untuk mengamalkan ajaran Islam sebenar disamping melakukan ibadat bersama-sama.
"Konsep ini boleh dilakukan bagi mana-mana produksi sekali pun. Ia terpulang kepada pengarah. Tetapi sayangnya, kita sebenarnya lebih mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Akhil kini sibuk menguruskan perniagaanya iaitu Akhil Network Sdn Bhd dimana syarikat Akhil mengenengahkan produk-produk halal.
"Syarikat ini sudah lama ditubuhkan iaitu pada Julai 2010 lagi, dan ia merupakan sebuah syarikat perdagangan yang memasarkan produk wangian bebas alkohol dan kesihatan.
"Produk pertama syarikat ini adalah 'Akhil Perfume For Men', 'Akhil Perfume For Women' dan 'Akhil Bio Foot Patch' yang mendapat sambutan menggalakkan dan kami kini sedang mencari stokis-stokis dan pengedar-pengedar bagi memasarkan produk Akhil Network ini," katanya.


