3 Okt – Penyanyi dangdut, Ani Mayuni semakin bahagia di samping suami selepas insiden (pukul) yang berlaku awal tahun lalu.
Ani Mayuni atau nama sebenar Aishah An Nur Osman, 33 memberitahu pengalaman yang tidak akan dilupakan itu merupakan hikmah dan ujian yang diberikan Allah S.W.T dalam melayari kehidupan rumah tangga.
"Apa yang boleh Ani beritahu di sini, apa yang terjadi ada hikmah disebaliknya.
"Biasalah kehidupan sebagai pasangan suami isteri pasti telah ditetapkan ujian masing – masing. Inikan orang yang berkahwin 20 tahun pun ada ujiannya. Walau apa pun yang terjadi, saya anggap sebagai ujian di dalam mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan kami."
Kegembiraan jelas terpancar di wajah pelantun yang pernah popular dengan lagu "Terang Bulan" ini yang kini bahagia disamping suami tercinta.
Dalam pada itu, Ani Mayuni merupakan salah seorang Ahli Jawatan Kuasa Seniman di bahagian persembahan.
"Ani kini uruskan bahagian persembahan untuk semua artis di bawah naungan Seniman. Jika ada yang berkaitan dengan persembahan boleh berjumpa Ani."
Apabila ditanya mengenai perancangan untuk menambah anak di dalam masa terdekat, Ani Mayuni menjawab sambil ketawa.
" Memang ada perancangan untuk menambah anak keempat tapi tunggulah bila kami sudah tidak sibuk. Sekarang memang sibuk dengan abang yang banyak kerja, saya pula terpaksa menghabiskan banyak masa di Brunei atas tuntutan kerja."
Ujar Ani lagi, kehidupannya sekarang lebih bermakna disamping keluarga dan anak – anak, walaupun jarang kelihatan di kaca televisyen, tawaran untuk memenuhi undangan nyanyian tidak pernah putus sehingga tahun hadapan.
"Alhamdullilah, ini mungkin satu kelebihan buat Ani kerana bukan ramai yang mampu membawa genre ini untuk diketengahkan. Dari dahulu sehingga sekarang, permintaan masih sama dan adakalanya tidak menang tangan."
Perkahwinan yang dibina bersama suami, Zairi Bin Azmi pada 5 Jun 2004 ini telah dikurnaikan tiga cahaya mata iaitu Wirda Viviana, 7, Wirna Airisya, 3, dan Muhammad Emir Oezil, 2.


