26 Jun – Pelawak dan pelakon popular, Saiful Apek meluahkan rasa bersyukur selepas dia dan tiga rakannya dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret, daripada tuduhan memasukkan dadah jenis ganja ke dalam badan, dua tahun lalu.
"Saya bersyukur kerana bebas dan percaya kepada ketelusan undang-undang serta Perlembagaan," kata pelawak veteran itu di luar Mahkamah Majistret di sini, semalam.
Menurut laporan Harian Metro, Saiful Apek atau nama sebenarnya Mohd Saifulazam Mohamed Yusuff dibebaskan selepas Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pelakon berusia 43 tahun, bersama Shaiful Baharom, 25, Shah Zainatull Ehsan Muazam Shah Yahya, 29, serta Noremy Mohamad, 29.
Sebelum ini, Apek dan tiga rakannya dituduh menggunakan dadah tersebut di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Subang Jaya, Jalan LP 2A/1, Taman Putra Permai, Seri Kembangan pada 12 Jun 2012.
Kesemua tertuduh kemudiannya didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara maksimun dua tahun atau denda.
Sementara itu, Apek nyata terharu terdapat keputusan itu dan dilihat menadah tangan tanda bersyukur dan berterima kasih kepada peguamnya yang banyak membantu serta peminat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya, dan berkata penantiannya selama ini tidak sia-sia selepas dibuktikan tidak bersalah.


