Advertisement

Asia menjadi destinasi pilihan Hollywood

Asia menjadi destinasi pilihan Hollywood

8 Mac - Marvel Studios baru-baru ini mengesahkan laporan bahawa filem terbaru francais "The Avengers" mereka, "The Avengers: Age of Ultron" bakal difilemkan di Seoul, Korea Selatan.

Lokasi tersebut merupakan satu-satunya lokasi di Asia selain pilihan destinasi lain mereka: London, Johannesburg, Lembah Aosta dan Afrika Selatan.

Tapi ini bukan kali pertama produksi Hollywood memilih Asia sebagai destinasi penggambaran mereka, malah tahun lalu saja "Transformers 4", "Pacific Rim", "Cyber" dan beberapa buah filem lain turut memilih Asia sebagai lokasi terbaik filem mereka.

Antara puluhan produksi filem yang pernah menjejakkan kaki ke benua ini termasuk:

The Beach (2000)
Filem lakonan Leonardo DiCaprio ini mungkin mencetus kontroversi akibat dakwaan mengatakan pihak produksi telah merosakkan beberapa sumber alam ketika penggambaran, tapi yang nyata, pantai di Koh Phi Phi Ley yang terletak di Kepulauan Phi Phi Thailand ini adalah destinasi yang amat cantik dan berjaya ditonjolkan dalam filem tersebut.

Jika anda ke sana, anda boleh ke Teluk Maya di mana ada banyak aktiviti seperti bersnorkel, naik bot panjang mengelilingi gua batu kapur, makan makanan laut yang segar dan lazat atau bermandi cahaya mentari di tepi pantai dan membayangkan diri anda bersantai bersama Richard, lakonan Leonardo DiCaprio.

Push (2009)
Filem ngeri-adiwira lakonan Chris Evans, Dakota Fanning dan Camilla Belle ini menjadikan Hong Kong sebagai latar.

Berbeza dengan filem-filem lain yang menggunakan bangunan pencakar langit dan kemajuan bandaraya Hong Kong sebagai lokasi utama, "Push" menggunakan pemandangan penduduk marhaen di sekitar Mongkok, Kowloon - dari bangunan rumah pangsa dan laluan belakang bangunan, sehingga ke Tung Choi Street yang dikenali dengan pasar Ladies' Market di bahagian selatan dan pasar ikan emas di bahagian utara.

Anna and the King (1999)
Sekalipun kisah sebenarnya berlaku di era pemerintahan Raja Siam, Raja Mongkut (Rama IV), filem arahan Andy Tennant ini memilih pemandangan indah di Malaysia, terutamanya di sekitar Penang, Ipoh dan Pulau Langkawi.

Malah, antara tempat menarik yang digunakan oleh produksi filem lakonan Jodie Foster dan Chow Yun Fat ini termasuk tokong Khoo Kongsi di Penang.

The Bourne Legacy (2012)
Selepas membuat penggambaran di Zurich, Paris, Goa, London hingga ke Mykonos, pada tahun 2012, kru produksi memilih Filipina sebagai destinasi seterusnya francais Jason Bourne ini.

Sekalipun ada membuat penggambaran di Alaska, Washington D.C. dan New York, barisan pelakon dan kru filem menghabiskan masa selama dua bulan bagi menyiapkan filem tersebut di Manila, di mana kebanyakan aksi kejar-mengejar dan lagak ngeri difilemkan.

Antara lokasi yang digunakan termasuk Remedios Circle yang berdekatan dengan Pasar San Andres, Cafe Adriatico yang dikenali sebagai kafe sebenar Filipina, Jambatan Jones, San Andres, Pelabuhan Ikan Navotas dan Pasar Awam Marikina.

Eat, Pray, Love (2010)
Senang kata, kehadiran Julia Robert di Ubud, Bali, Indonesia dan New Delhi, India bagi membuat penggambaran filem "Eat, Pray, Love" telah menaikkan lagi nama kedua-duanya sebagai destinasi pelancongan terbaik.

Dalam filem tersebut, watak Elizabeth ke Bali untuk mencari keseimbangan antara perjalanan 'makan' ke Itali dan mencari maksud kerohanian di India, tetapi menemui cinta pula apabila dia ke Bali dan bertemu seorang ahli perniagaan dari Brazil bernama Felipe.

Antara lokasi menarik di Bali yang dipersembahkan dalam filem ini termasuk sawah padinya yang menghijau, pantai penginapan di Pecatu, malah kediaman pawang Ketut Liyer dan Wayan.

Tomb Raider (2001)
Ketika filem ini menjalani penggambaran di Candi Angkor Wat yang terletak di Siem Reap, Cambodia, ramai warga Cambodia yang tidak berpuas hati kerana banyak lakonan yang berbentuk ganas dibuat di tempat pengabdian mereka yang suci.

Antara tempat menarik yang boleh dilawati sekiranya ke sini, termasuk Angkor Thom, di mana anda boleh mengalami sendiri keindahan tamadun kuno melalui tinggalannya. Anda juga boleh menikmati pemandangan perkampungan nelayan di tasik Tonle Sap dan melawat kuil-kuil yang ada di sekitar Siem Reap.

Lost in Translation (2003)
"Lost in Translation" merupakan sebuah filem yang mempersembahkan kritikan sosial terhadap komunikasi sesama insan, kesepian, eksistensialisme, dan kejutan budaya. Jadi tiada tempat lain yang lebih sesuai memaparkan semua perasaan ini yang hadir di sebalik hiruk pikuk metropolitan seperti di Shibuya, Tokyo.

Antara lokasi menarik yang digunakan dalam filem ini termasuk Shibuya Square, New York Bar di Park Hyatt yang sesuai buat peminat jazz, selain aktiviti malam di Shibuya, seperti pusat-pusat karaokenya, kafe shabu-shabu, permainan pachinko, kedai-kedai kamera BIC dan lokasi membeli-belah di Shibuya 109.

The Dark Knight (2008)
Sementara "Push" menampilkan kecantikan marhaen di Mongkok, filem adiwira "The Dark Knight" Christopher Nolan pula memilih pusat kewangan utama di Hong Kong dan mengadakan penggambaran satu daripada babak Batman menculik akauntan gangster, Lau di bangunan berketinggian 400 meter Pusat Kewangan Antarabangsa (IFC) di Central Hong Kong.

Anda boleh lihat kecantikan bandaraya Hong Kong yang dipenuhi lampu-lampu yang menghiasi bangunan pencakar langitnya melalui filem tersebut.

The Hangover Part II (2011)
Selepas menjadikan Las Vegas sebagai lokasi utama filem pertamanya, sekuel filem ini memilih Thailand dan semua kegilaan kota Bangkok sebagai destinasi utama, dengan menjadikan majlis perkahwinan Stu di Teluk Phulay, Krabi sebagai punca utama kehadiran mereka ke Thailand.

Antara destinasi menarik yang dilawati 'wolf pack' dalam usaha mereka mencari adik Lauren yang tiba-tiba hilang termasuk Soi Plaeng Nam di Chinatown, Muang Boran di Samut Prakan, kegilaan aktiviti malam di Soi Cowboy, Sukhumvit hinggalah ke babak mereka hampir ditangkap Interpol di skybar Sirocco di Lebua State Tower yang menampilkan panorama indah sekitar Bangkok.