25 Mei - Cinta pandang pertama. Itulah ungkapan paling tepat untuk penyanyi bersuara lunak dari Indonesia, Audy yang bakal menamatkan zaman bujangnya bersama kekasihnya yang merupakan seorang bintang filem "The Raid", Iko Uwais.
Walaupun baru sebulan menyulam cinta, pemilik nama sebenar Paula Allodya Item ini yakin bahawa Iko adalah jodohnya.
"Mungkin ini adalah jodoh Tuhan, jadi saya serahkan segala kepadaNya," kata Audy ketika ditemui di majlis pelancaran album terbarunya berjudul "Selalu Terdepan" di Hotel Royal, Kuala Lumpur, Selasa lalu.
Menurutnya, hubungan mereka ini telah mendapat restu daripada kedua-dua belah keluarga. Malah keluarga mereka berdua sangat rapat dan sudah lama mengenali antara satu sama lain.
Ditanya apa yang membuatkan Audy menerima aktor yang berjaya menempa nama di peringkat antarabangsa itu, penyanyi berusia 29 tahun ini berkata, "Walapun dia sibuk dengan kariernya, dia tetap akan meluangkan masa untuk bersama saya. Dia seorang yang sentiasa menyokong saya. Paling penting adalah dia seorang yang soleh, jadi dia boleh membimbing saya kelak."
Dalam perkembangan lain, Audy bakal mengadakan persembahan di Genting Highlands pada Julai akan datang.


