Awal Ashaari hos baru 'Melodi'



Akhirnya, seperti yang digembar-gemburkan dan menjadi teki-teki sejak lebih sebulan lalu, pihak pengurusan program 'Melodi' mengeluarkan kenyataan akhbar yang menyatakan bahawa bermula Jun ini, program tersebut akan dikendalikan oleh seorang pengacara baru iaitu Awal Ashaari. Awal akan mengacarakan Melodi bersama hos lama mereka, Zizan Razak.

Hal tersebut berlaku selepas Dira yang membuat keputusan untuk mengundur diri.

Pemilihan Awal sekali gus menamatkan spekulasi tentang siapa hos yang akan mengisi posisi hos wanita Melodi sebelum ini, Dira Abu Zahar. Khidmat Dira sebagai hos program tersebut 'tergantung' selepas dia didakwa terbabit dalam satu pergaduhan di sebuah kelab malam terkenal di ibu kota sekitar bulan April lalu. Sejak Dira tidak muncul mengacara program tersebut, Awal dilihat telah mula menggantikan kekosongan tersebut.

Melalui kenyataan rasmi tersebut, penerbit 'Melodi', Azman Abd Gafar menjelaskan: “Selepas perbincangan dalaman dan berdasarkan sesi pemilihan calon pengantara yang telah dilakukan beberapa bulan sebelum ini, pertukaran muka hadapan Melodi adalah satu langkah strategik dan wajar dilakukan. Kami yakin bakat dan potensi yang ada pada Zizan dan Awal kerana mereka mampu mengendalikan rancangan dengan keunikan dan stail tersendiri dalam meredakan suasana setelah paparan panas dan sensasi dihidangkan.

"Kami juga percaya setiap pengacara dianugerahkan dengan bakat yang berbeza dan mempunyai kelompok peminatnya tersendiri. Bukan sekadar bertumpu kepada gurauan dan usikan semata-mata, jika diberi peluang, gandingan Zizan dan Awal mampu menyerikan program ini dengan corak pengacaraan yang sudah sebati dengan penonton," ujarnya.

Pihak penerbitan turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dira Abu Zahar yang yang dianggap begitu komited sepanjang setahun berkhidmat dengan mereka. "Kami menghormati keputusannya yang ingin melanjutkan pelajaran dan memberi fokus terhadap perniagaannya," ujar Azman lagi.

Hai, memang rezeki pengantin baru. Tahniah Awal. Bagaimanapun Awal tidak dapat dihubungi kerana sedang berada di New York, menhabiskan bulan madu bersama isterinya, Scha Al-Yahya dan hanya akan pulang ke ibu kota pada hujung bulan ini sebelum memulakan tugas mengacara program tersebut.

Sementara itu, Dira turut mengucapkan tahniah buat Awal dan memberitahu keputusan yang diambil untuk meninggalkan Melodi bukan kerana kontroversi yang menghambat dirinya.

"Ia tak ada kena-mengena dengan kontroversi sebelum ini. Saya mahu memberi tumpuan terhadap perniagaan dan menyambung pelajaran," katanya.