Azean kritikal, bakal menjalani pembedahan


PELAKON Azean Irdawaty dilaporkan sedang berada dalam keadaan kritikal selepas bertarung dengan penyakit kanser satu dekad yang lalu. Seniwati yang berusia 56 tahun itu dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor minggu lalu selepas doktor menjumpai dua ketumbuhan di bahagian otaknya akibat kanser yang makin merebak ke bahagian vaskular tubuh beliau.

Menurut anak lelaki Azean, pelakon TV dan teater Benjy ibunya patut dibedah pada hari Khamis namun pembedahan tersebut terpaksa ditunda pada Isnin depan akibat beberapa kes kecemasan yag memerlukan pembedahan dengan segera.

Katanya lagi, doktor akan memasukkan plat titanium ke dalam tengkorak Azean sewaktu prosedur yang rumit dan bakal mengambil masa yang panjang itu untuk menutupi bahagian otaknya yang bengkak.

“Pada mulanya kami fikir tumor yang baru ditemui itu hanya ketulan sel-sel mati sahaja. Namun, apabila doktor mengesahkan ketumbuhan tersebut ‘malignan’, kami  sekeluarga sebulat suara bersetuju untuk ibu menjalani pembedahan tersebut secepat mungkin walau risikonya tinggi,” ujar Benjy.

BACA:
Kesihatan Azean Irdawaty semakin merosot
Azean Irdawaty perlukan bantuan


Kata Benjy, keadaan Azean semakin lemah manakala butir percakapannya sudah tidak berapa jelas.

“Justeru itu, hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan untuk melawat ibu demi mengelakkan dari berlaku komplikasi lain. Biarlah beliau berehat dulu sebelum melalui pembedahan nanti,” tambahnya lagi.

Ujar Benjy, keluarganya tabah dalam mengharungi dugaan ini dan beliau berharap agar rakan-rakan dan peminat ibunya turut mendoakan pembedahan ibunya berjalan lancar tanpa sebarang komplikasi.

“Saya berdoa agar ibu kembali pulih seperti biasa kerana tidak sanggup melihat beliau menderita lagi selepas ini,” kata Benjy, bapa tunggal kepada yang kini sibuk membahagikan masa antara menjaga keperluan anak lelakinya dan melawat ibunya di hospital. 

Bagi mereka yang ingin menyumbang kepada kos perubatan dan pembedahan Azean, mereka boleh menghulurkan terus ke akaun Azean Irdawaty Yusoef 16240100009490 (RHB Bank).