13 Jul - Selepas filem "Azura" diriliskan pada bulan Februari yang lalu, kini pengarah filem Aziz M. Osman sibuk dengan penggambaran filem "Penunggu" yang akan bermula tidak lama lagi.
Filem bergenre seram ini berkisar tentang si isteri yang sedang sarat mengandung dan ingin melahirkan anaknya di kampung kerana mengikut tradisi turun-temurun keluarga. Si isteri kemudiannya didatangi saka, menyebabkan anak dalam kandungannya hilang. Menurut orang kampung, anak itu dikatakan telah diculik oleh penunggu di hutan berdekatan dan misi pencarian penunggu bermula.
Aziz turut memberikan pandangan peribadi terhadap filem baru yang dikatakan memang lain daripada yang lain.
"Filem thriller ini boleh dianggap sebagai suatu permainan roller coster buat penonton. Walaupun jalan ceritanya biasa, namun teknik pembikinan filem yang saya bawa ada sedikit kelainan. Tapi saya tak mahu bercerita panjang lagi. Biarlah penonton sendiri tahu apabila filem keluar nanti," ujar pengarah veteran itu sambil tergelak kecil di sebuah sesi temubual.
Dibintangi oleh pelakon Bront Palarae dan Yana Samsudin, filem ini bakal keluar di tayangan pada tahun hadapan.
Selain daripada filem "Penunggu", Aziz M. Osman atau lebih mesra dikenali sebagai Abang Aziz juga sedang terlibat dengan sebuah syarikat terbitan filem animasi Redang Digital yang bertempat di Terengganu dalam membikin sebuah filem animasi yang akan memakan masa sehingga 3 tahun. Dibuat dalam bentuk 3D stereoskopik, filem ini mengisahkan seorang watak dongeng Melayu terkenal iaitu "si Luncai".


