10 Ogos – Bekas suami kepada mendiang penyanyi terkenal Amy Winehouse, Blake Fielder-Civil kini berada dalam keadaan koma selepas ditemui tersedak muntah sendiri ketika tidur oleh pasangannya, Sarah Aspin, Jumaat lalu.
Dipetik daripada laporan The Guardian, Fielder-Civil yang keluar minum bersama rakan-rakan sehari sebelum hari kejadian telah dikejarkan ke hospital dan disahkan mengalami kegagalan beberapa organ badan.
Dia kini dipasangkan kepada mesin bantuan sokongan hidup sebuah hospital di Dewbury, West Yorkshire.
Aspin, 34, yang bertemu bekas suami penyanyi "Rehab" di pusat pemulihan tiga tahun lalu memberitahu The Sun, "Doktor telah meletakkannya dalam koma kerana jangkitan dan juga bagi membantunya. Saya berdoa agar dia selamat tetapi saya perlu bersiap sedia sekiranya dia tidak bangun lagi."
Fielder-Civil dan Aspin mempunyai seorang anak lelaki bersama yang kini berusia 15 bulan.
Aspin yang mempercayai bahawa teman lelakinya mengambil barang terlarang memberitahu, Fielder-Civil mempunyai temu janji dengan servis percubaan dan bertemu dengan seorang rakan sehari sebelum itu. Keesokan harinya, Aspin menemui Fielder-Civil tidak sedarkan diri.
Paramedik yang dihubungi mengesahkan dia telah mengunyah lidahnya dan tersedak muntah sendiri.
Fielder-Civil, seorang penagih dadah dalam pemulihan pernah dipenjarakan pada tahun 2007. Dia dipenjarakan sekali lagi pada Jun tahun lalu atas kesalahan rompakan dan memiliki senjata palsu. Dia telah keluar daripada penjara dua minggu lalu dan dikehendaki memakai tag elektronik.
Bekas penolong video muzik ini mengahwini Winehouse pada tahun 2007 tetapi bercerai dua tahun kemudian.
Ayah kepada Winehouse, Mitch, turut mengesahkan berita tersebut di Twitter dan meminta agar peminat berdoa agar dia pulih.
"Berita buruk tentang Blake pagi ini. Ingat, Amy pernah menyayanginya. Mari berdoa agar dia pulih secepat mungkin," ujarnya di Twitter.


