9 Okt – Pernah mengalami masalah berat badan sebelum ini, Benjy kini lebih yakin untuk bertemu orang ramai setelah berat badanya turun dari 89 kg ke 74 kg.
Demi minatnya dalam bidang lakonan, pelakon yang juga anak kepada dramatis Azean Irdawaty ini memberitahu demi menjayakan wataknya di dalam pementasan teater 'Tattoo GESTAPO" dia harus menjaga dan mengawal berat badannya supaya tidak terlalu gemuk.
Ujarnya lagi, dia bukan sahaja menjaga berat badannya demi lakonan tetapi untuk kesihatan dirinya juga agar tidak mendapat sebarang penyakit.
Tidak mahu menjadikan kisah silamnya sebagai penyebab dia menjauhkan diri, Benjy atau nama sebenar Khaireyll Benjamin Ibrahim berkata, dia akan tetap meneruskan karier seninya sebagai pelakon dan pada masa kini sedang sibuk dengan perniagaan pembuatan ais batu bersama rakan kongsinya.
" Saya akan tetap berlakon kerana ianya sudah menjadi darah daging saya. Walaupun ketika berada dalam penjara, hati saya meronta – ronta apabila menonton televisyen. Perasaan rindu itu membuak – buak. Tapi saya merasakan pelakon sekarang tidak sama seperti dahulu. Kuantiti lebih didahulukan sebelum kualiti pelakon sebenar."
Apabila ditanya mengapa memilih pementasan teater sebagai permulaan kariernya selepas 14 bulan dipenjarakan di Kuatan, Benjy berkata kerana dia mahu berlakon dengan Pekin Ibrahim. "Pada mulanya saya agak sukar untuk menerima tawaran ini kerana merasakan masih belum tiba masanya untuk kembali berlakon. Tetapi apabila mendengar nama Pekin Ibrahim sebagai sparring partner saya, tidak mahu berfikir panjang saya terus menerimanya.
"Jujur saya katakan, apabila mendengar nama seperti Bront Palare, Zahiril Adzim, hati saya berasa tergugat kerana saya amat hargai bakat mereka di dalam dunia lakonan ini."
Sementara itu, Benjy yang ditanya mengenai statusnya dengan isterinya, pelakon yang pernah popular dengan drama "Cintaku Saerah", menjelaskan bahawa mereka kini dalam proses perceraian. Keputusan untuk berpisah itu dibuat secara baik selepas kedua-dua mereka bersetuju untuk mengambil haluan masing-masing.
"Saya dan isteri bakal berpisah, buat masa ini kami masih lagi dalam proses perceraian. Manakala hak penjagaan adalah secara bersama dimana saya akan berjumpa mereka setiap hujung minggu."
Benjy dan Safiya Stephanie Kar Leng Lee berkahwin pada 19 Februari 2004 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurnai seorang anak lelaki iaitu Firdauz Juan.


