31 Dis – Baru sahaja beberapa bulan selepas Shakira disahkan hamil, seluruh dunia digemparkan pula dengan berita kelahiran anak pertamanya bersama pemain bola sepak Barcelona dan Spain, Gerard Pique, pada hari Jumaat yang lalu apabila Pique meluahkan rasa gembira beliau menerusi laman Twitternya yang mengatakan Shakira sudah melahirkan anak.
"Anak kami sudah lahir! Kami gembira! Terima kasih semua atas mesej yang diberi!" Tulis beliau dalam bahasa Sepanyol.
Namun, apa yang tidak disedari orang ramai adalah kenyataan tersebut dikeluarkan pada tarikh 28 Disember, iaitu sebuah tarikh yang menandakan hari 'April Fool' versi Amerika Latin dan dikenali sebagai 'Dia de los Santos Inocentes'.
Kekecohan hanya berlaku selama beberapa jam sahaja setelah Pique mengakui kenyataannya hanyalah suatu gurauan semata-mata tidak lama selepas itu, dengan menyatakan anaknya diberi nama 'Innocent' iaitu perkataan yang selalu digunakan kepada mereka yang tertipu pada hari tersebut.
Dengan itu, beliau mengakhiri kata-katanya dengan ucapan, "Selamat Hari Dia de los Santos Inocentes kepada semua!"


