Oleh Hafidz Baharom
KUALA LUMPUR, 19 Julai — Perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata hari ini, Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) telah menyebabkan kuota rakyat Malaysia untuk menunaikan ibadat haji dalam bahaya dan sekaligus telah memburukkan nama negara.
“Kita menyokong demonstrasi tetapi hanya demonstrasi yang diadakan dengan aman dan selari dengan tuntutan agama.
“Apabila ada yang protes di Mekah dan Madinah, imej kita sebagai rakyat Malaysia dan orang Islam tercalar.
“Kerajaan Saudi ugut untuk tarik balik kuota kita,” kata Najib.
Najib menjelaskan, isu ini sangat serius sehingga menyebabkan ribuan rakyat yang telah menunggu sehingga 15 tahun tidak dapat menunaikan ibadat haji.
“Disebabkan Bersih, kita mungkin menghadapi pergantungan (kuota) untuk tahun ini atau selama tiga tahun.
“Mereka (Bersih) menyebabkan umat Islam di Malaysia tidak dapt menunaikan tanggungjawab mereka.” kata Najib lagi.
Beliau juga mendakwa mereka yang protes untuk Bersih di Mekah dan Madinah berkemungkinan “kurang berpendidikan.”
Bersih pada 28 April menganjurkan perhimpunan terbesar mereka yang berakhir dengan keganasan polis dan ribuan peserta perhimpunan didakwa.
Protes Bersih itu juga dianjurkan dengan skala yang lebih kecil di 51 lagi negara.
Pemimpin dari kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk Najib telah berulang kali mendakwa perhimpunan Bersih pada 28 April adalah percubaan untuk menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik dimana pertuduhan tersebut telah dinafikan oleh pemimpinnya, Datuk Ambiga secara berulang kali.
Bersih telah melobi pentadbiran Najib untuk mereformasikan pilihan raya termasuklah membersihkan daftar pengundi sebelum pilihan raya akan datang yang perlu diadakan selewat-lewatnya sembilan bulan lagi.
Putrajaya telah berjanji untuk melakukan reformasi pilihan raya selepas perhimpunan Bersih kedua 9 Julai 2011 - memberikan imej negatif kepada Najib sehingga ke peringkat antarabangsa. Pihak kerajaan telah dituduh tidak bersungguh-sungguh melakukan perubahan walaubagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa perubahan pilihan raya akan berlaku tetapi mememrlukan masa.
Ambiga juga menuduh BN menjadikan gabungan Bersih sebagai “momok” jahat dimana risalah-risalah anti Bersih yang disebarkan baru-baru ini di Lembah Klang mempunyai logo Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.


