25 Apr – Aktres popular Hollywood dari Malaysia, Datuk Michelle Yeoh mengakui bukan senang untuknya membawa dan menghayati watak sebagai Aung San Suu Kyi dalam filem epik biogragfi "The Lady" kerana ia memerlukannya membuat persiapan fizikal agar mendapat susuk tubuh yang seiras pemimpin itu.
"Saya sentiasa bangun awal setiap hari untuk berlatih berlari selama satu jan setengah sebelum penggambaran dijalankan dan selepas penggambaran.
"Dari segi aspek persiapan fizikal sangat penting untuk memberikan saya stamina dan ketahanan sepanjang penggambaran, dan apa yang paling penting adalah untuk saya mengekalkan bentuk fizikal saya agar ia sama seperti fizikal sebenar Suu Kyi,"ujarnya.
Pelakon berusia 49 tahun ini turut memberitahu untuk mengungkap dialog dalam bahasa Burma (Myanmar) juga merupakan salah satu cabaran besar baginya dalam memegang watak sebagai pejuang kebebasan demokrasi Negara itu.
Jelas bintang filem kelahiran Ipoh, Perak itu, dia mendapat bimbingan guru bahasa Burma untuknya mengingati dialog yang panjang untuk babak-babak ucapan pengasas parti politik Liga Demokrasi Kebangsaan itu ketika berkempen.
"Saya akui untuk menjayakan babak ketika Suu Kyi menyampaikan ucapan di hadapan rakyat adalah sangat mencabar bagi saya kerana ia perlu dilakukan dalam bahasa Burma. Bukan dialognya sahaja yang panjang, tetapi ia perlu dirakamkan dengan hanya sekali sahaja bagi mengekalkan impak emosi di kalangan masyarakat yang mendengar ucapan tersebut," katanya ketika ditemui pada sidang media filem 'The Lady' di Hotel Ritz-Carlton, KL, petang Selasa semalam.
Sementara itu, Yeoh sempat ditanya adakah dia akan menceburi bidang politik selepas melakonkan watak pemimpin itu, Yeoh berkata dia sama sekali tidak mungkin akan mampu untuk melakukannya.
"Saya tidak pernah terfikir langsung untuk menceburi bidang politik ini. Saya rasa biarlah saya menjadi pelakon saja. Saya tidak ada personaliti diri sebagai seorang ahli politik," katanya lagi.
Filem arahan pengarah Perancis, Luc Besson ini diinspirasikan daripada kronologi hidup pemenang Anugerah Keamanan Nobel (1991) yang turut dibintangi David Thewlis, Jonathan Woodhouse dan Johantan Ragget.
"The Lady" akan ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia pada 3 Mei 2012.


