Cara betul manfaatkan elaun dan bonus tahunan



Beberapa syarikat memberikan bonus akhir tahun dan juga elaun istimewa seperti untuk sambutan Hari Krismas. Bagi pekerja yang bergaji tetap di sebuah syarikat, bonus dan elaun yang diterima sekali dalam setahun itu boleh dikategorikan sebagai pendapatan tahunan.

Syarikat memberikan pendapatan tahunan seperti bonus dan elaun istimewa, dengan satu tujuan iaitu bagi memenuhi perbelanjaan tahunan yang diperlukan.  Biasanya, nilai perbelanjaan tahunan adalah agak besar.  Oleh kerana itu, anda perlu merekodkan segala perbelanjaan bagi tahun berkenaan supaya dapat ditampung dengan bonus dan elaun istimewa yang bakal diperoleh.

Sebaik-baiknya perkara berikut ada dalam senarai:

1. Cukai
Jika anda memiliki kenderaan dan rumah sendiri, setiap tahun anda akan dikenakan cukai jalan  dan cukai hartanah.  Oleh kerana ia mesti dilunaskan, maka keperluan untuknya harus diasingkan daripada pendapatan tahunan.  Jika bonus diterima pada akhir tahun, sisihkan sejumlah wang untuk menjelaskan cukai berkenaan ke dalam akaun berasingan. Tujuannya supaya wang itu tidak sampai digunakan untuk keperluan sehari-hari.

2. Premium Insurans
Jika anda memiliki insurans hayat dan insurans kesihatan, sediakanlah bayaran premiumnya setiap tahun. Sumber bayaran premium yang dibayar secara tahunan itu juga wajar diambil daripada pendapatan tahunan yang anda peroleh.

3. Perbelanjaan untuk sambutan perayaan
Perbelanjaan tahunan untuk sambutan perayaan berbeza mengikut agama dan kepercayaan. Bagi yang beragama Islam, perbelanjaan ini termasuklah kos untuk melakukan ibadah korban.  Sementara untuk penganut Kristian, kos untuk membeli hadiah sempena Krismas adalah sebahagian daripada perbelanjaan tahunan yang dimaksudkan. Dan jangan lupa, apabila pembantu rumah meraikan perayaan tertentu, anda sebagai majikan harus memberikan wang saguhati kepadanya.

4. Pelaburan
Pelaburan yang dibuat secara tahunan juga tidak kurang pentingnya. Pastikan anda dapat melabur sejumlah wang yang diperoleh daripada pendapatan tahunan. Perbelanjaan yang fleksibel seperti perbelanjaan untuk hari raya harus disesuaikan mengikut keperluan, supaya anda masih mempunyai wang untuk dilaburkan.

Pelaburan tahunan ini mempunyai pelbagai tujuan.  Satu daripadanya ialah bagi menyediakan bayaran pendahuluan atau duit muka untuk membeli rumah atau kenderaan.   Pelaburan tahunan juga dapat digunakan untuk membiayai percutian yang dirancang pada tahun berikutnya.  

Jadi, catatkan pendapatan tahunan yang bakal anda peroleh dan menfaatkannya secara bijak untuk perbelanjaan tahunan yang harus dikeluarkan pada tahun berkenaan.

Selamat mencuba.

Reliza Kodri, Perancang Kewangan Bebas
PT. Quantum Magna Financial
www.qmfinancial.com