Oleh: Uthaya Sankar SB
19 OGOS — Kogila mengikut jejak kakaknya untuk belajar sambil bekerja. Dia juga sudah tamat pengajian dan sedang bekerja di syarikat penerbangan.
“Saya mahu bawa emak terbang keliling dunia!”
Demikian kata Kogila apabila mula-mula mendapat kerja di syarikat berkenaan. Sehingga kini, Chellam telah berpeluang untuk pergi ke India, China, Indonesia dan beberapa negara Eropah bersama-sama anak-anaknya.
Anak ketiga bernama Kannama sedang belajar di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Cita-citanya untuk memiliki rangkaian kedai buku serta penerbitan sendiri. Dia mahu menerbitkan buku dan bahan bacaan bermutu.
“Ilmu adalah kekuatan. Bahan bacaan mampu memberi ilmu yang tak ternilai. Saya mahu menyumbang ke arah peningkatan ilmu dalam kalangan generasi muda kaum India. Apabila mereka ada ilmu, tentu mereka boleh mengatasi apa sahaja masalah dan cabaran dalam hidup. Knowledge is power!”
Chellam terharu mendengar Kannama bercakap mengenai cita-citanya. Anak-anak muda biasanya bercakap soal cinta dan impian hidup sendiri. Sebaliknya anak-anaknya selalu berfikir mengenai orang lain.
“Kami semua adalah waris emak. Emak berjuang untuk kebahagiaan hidup kami. Emak tak pernah mementingkan diri sendiri. Peribadi itulah yang kami semua warisi,” kata Karpagam, si anak bongsu.
Karpagam masih belajar. Tahun ini dia di Tingkatan Enam Rendah. Cita-citanya mahu menjadi doktor pakar dalam bidang psikologi.
“Hei, kalau kamu menjadi doktor, macam mana dengan impian kamu dulu untuk membina istana untuk emak?” Kannama bertanya secara berjenaka beberapa minggu lalu.
“Tak semestinya saya sendiri yang membina istana itu. Bukanlah seperti emak sendiri yang membina pondok kita di kawasan setinggan hampir dua puluh tahun lalu. Tak juga seperti kakak berdua yang sama-sama mengubah suai pondok kita dulu,” jawab Karpagam pula sambil mengusik kakak-kakaknya.
“Jadi, macam mana?” Kogila bertanya.
“Shah Jahan membina Taj Mahal untuk Mumtaz. Tapi bukan dia sendiri yang membinanya. Dia mengupah arkitek terbaik. Kita akan membina istana lebih besar untuk emak kita yang tersayang. Kita akan upah arkitek terbaik juga,” jawab Karpagam.
“Tapi kita jangan bunuh arkitek itu selepas kerjanya siap; seperti yang kononnya dibuat oleh Shah Jahan,” tambah Kavitha.
Mereka semua ketawa riang. Semasa tinggal di pondok buruk, mereka masih mampu ketawa riang walaupun hidup penuh penderitaan dan sentiasa berjuang. Kini, mereka hidup mewah.
Orang selalu berkata bahawa golongan mewah sukar untuk ketawa kerana memikirkan bermacam-macam masalah. Bagaimanapun, Chellam dan anak-anaknya mampu ketawa gembira kerana mereka tabah menghadapi cabaran dan masalah dalam hidup.
Akan tetapi, sedarkah mereka bahawa satu cabaran maha besar bakal mendatang? Akan mampukah mereka menghadapinya dengan senyuman?
BERSAMBUNG MINGGU DEPAN
* Uthaya Sankar SB adalah penulis sepenuh masa dan kolumnis The Malaysian Insider.


