19 Sep – Lawatan pasangan Will dan Kate di Perancis nampaknya tidak berakhir dengan gembira apabila gambar-gambar terbaru Kate Middleton yang kelihatan sedang berjemur di Perancis tanpa menutup bahagian atas tubuhnya tersebar menerusi tabloid "Closer".
Hal tersebut telah menaikkan kemarahan pasangan diraja itu, yang mengumumkan bahawa tindakan mahkamah telahpun diambil pada beberapa hari yang lepas terhadap penerbit majalah yang didakwa telah menceroboh kehidupan peribadi mereka berdua.
Gambar-gambar yang sedikit kabur itu diambil pada minggu lepas di sebuah chateau semasa percutian pasangan di wilayah Provence.
Penyunting "Closer", Laurence Pieau, sebaliknya, membela perbuatan mereka yang mengatakan bahawa pasangan tersebut jelas terlihat dari tepi jalan dan tidak nampak seperti mereka cuba menyembunyikan diri.
"Bagi saya, gambar tersebut tidak mengejutkan," jelas Pieau, seperti yang dipetik dari New York Daily News.
"Gambar tersebut hanya menunjukkan pasangan cantik yang dilamun cinta di selatan Perancis."
Hal sedemikian bukan kali pertama keluarga diraja yang berasal dari Wales itu menjadi sasaran media. Selain daripada gangguan paparazzi yang membawa kepada kematian Puteri Diana pada tahun 1997, gambar bogel Putera sedang berjoli di Las Vegas turut tersebar pada bulan lepas.


