4 Sept - Selepas tiga tahun bercinta, pasangan Dania Danielle dan Farid Kamil akhirnya mengikat tali pertunangan pada Ahad lalu di kediaman milik aktres itu di Damansara, Petaling Jaya.
Menurut laporan Berita Harian, Diana telah menerima sebentuk cincin yang disarungkan ibu Farid sebagai tanda dia sudah diikat, dan menerima tiga dulang hantaran daripada pihak lelaki berbalas lima dulang.
Ibu kepada pelakon "Hantu Gangster" Norsiah Ramli, bersyukur majlis yang dirancang sebulan lalu berjalan lancar dan sempurna.
"Alhamdulillah segala-galanya berjalan dengan lancar. Sebagai ibu tiada apa yang lebih gembira selain melihat anak saya bahagia.
"Saya harap pertunangan ini akan kekal sehingga ke jinjang pelamin dan Farid dapat menjaga Diana dengan baik," katanya.
Ditanya mengenai mengapa mereka merahsiakan majlis tersebut, Norsaih berkata ia dirahsiakan atas kehendak anaknya dan Farid.
"Bukan niat untuk merahsiakannya. Cuma itu kehendak Diana dengan Farid yang mahu majlis dihadiri keluarga dan saudara terdekat sahaja. Tiada rakan artis yang diundang. Lagipun ini cuma majlis pertunangan jadi kami buat seringkas yang boleh," jelasnya.
Norsiah yang turut ditanya tentang berapa lama tali pertunangan ini diikat berkata, tiada tarikh yang ditetapkan lagi tetapi paling lama mungkin setahun.


