Pernah tak anda menonton filem "Dark Shadows" sambil berfikir, "Hei, mengapa Tim Burton asyik ambil Johnny Depp berlakon filemnya?"
Ini kerana sesetengah pengarah lebih selesa mengambil pelakon yang sama dalam filem-filem mereka. Mungkin kerana persahabatan yang terjalin atau mungkin juga kerana merasakan pelakon tersebut memahami cara kerjanya dan apa yang dikehendaki.
Corak hubungan ini adakalanya disebut sebagai 'family cinema'. Antara hubungan tersebut termasuk:
MARTIN SCORSESE - Robert DeNiro & Leonardo DiCaprio
Bermula dengan Robert DeNiro melalui "Mean Streets" (1973), "Taxi Driver" (1976), "New York, New York" (1977), "Raging Bull" (1980), "The King Of Comedy" (1983), "Goodfellas" (1990), "Cape Fear" (1991) dan "Casino" (1995). Mereka bakal bekerjasama kembali dalam "The Irishman" pada tahun 2014.
Manakala Scorsese pernah bekerjasama dengan Leonardo DiCaprio melalui "Gangs Of New York" (2002), "The Aviator" (2004), "The Departed" (2006), "Shutter Island" (2010) dan "The Wolf Of Wall Street" yang bakal ditayangkan pada 2013.
TONY SCOTT - Denzel Washington
Antara filem kerjasama antara adik pengarah Ridley Scott dan bintang Afrika-Amerika paling dikagumi ini termasuk "Crimson Tide" (1995), "Man On Fire" (2004), "Deja Vu" (2006), "The Taking Of Pelham 1 2 3" (2009) dan "Unstoppable" (2010).
TIM BURTON - Johnny Depp & Helena Bonham-Carter
Pengarah berusia 58 tahun ini lebih suka bekerja sambil dikelilingi orang yang rapat dengannya dan kerana itu rakan karibnya Johnny Depp dan isterinya Helena Bonham-Carter sering menjadi pilihan utama. Disebabkan Depp dan Bonham-Carter juga memiliki citarasa aneh seperti Burton, ia tidak menjadi satu masalah!
Antara kerjasama mereka termasuk "Edward Scissorshand", "Big Fish", "Ed Wood", "Sleepy Hollow", "Charlie And The Chocolate Factory", "Corpse Bride", "Sweeney Todd: The Demon Barber Of Fleet Street", "Alice In Wonderland" dan "Dark Shadows".
CHRISTOPHER NOLAN - Michael Caine & Christian Bale
Sejak mereka berkolaborasi bersama dalam "Batman Begins" (2005), pelakon veteran Michael Caine dan bintang Wales Christian Bale menjadi pilihan utama Nolan dalam filem-filemnya, termasuk "The Prestige" (2006), "The Dark Knight" (2008) dan "The Dark Knight Rises" (2012). Caine juga membintangi filem box office Nolan, "Inception" pada tahun 2010.
AKIRA KUROSAWA - Takashi Shimura
Antara gandingan pengarah dan pelakon yang paling banyak sekali, Kurosawa dan Shimura telah bekerjasama dalam 22 buah filem. Antaranya "Judo Saga", "The Most Beautiful", "The Men Who Tread On The Tiger's Tail", "Those Who Make Tomorrow", "No Regrets For My Youth", "Drunken Angel", "A Silent Duel", "Stray Dog", "Scandal", "Rashomon", "Seven Samurai", "The Hidden Fortress", "Red Beard" dan "Kagemusha".
RIDLEY SCOTT - Russell Crowe
Bagaikan tidak sah filem pengarah Inggeris Ridley Scott ini tanpa pelakon Australia, Russell Crowe di dalamnya apatah lagi semua filem Scott yang dibintangi Crowe mendapat status pecah panggung di seluruh dunia. Filem kerjasama mereka bermula dengan "Gladiator" (2000) dan seterusnya berturut-turut dengan "A Good Year" (2006), "American Gangster" (2007), "Body Of Lies" (2008) dan "Robin Hood" (2010).
QUENTIN TARANTINO - Samuel L. Jackson
Filem Tarantino sentiasa ganas, lucu tetapi cukup mengganggu pemikiran. Kerana itu Samuel L. Jackson merupakan insan paling sesuai untuk melakonkan kebanyakan filem-filemnya. Bermula dengan "Pulp Fiction" pada tahun 1994 melalui watak Jules Winnfield, Jackson terus melakonkan filem-filem Tarantino seperti "Jackie Brown" (1997), "Kill Bill Vol. 2" (2004), lakon suara dalam "Inglourious Basterds" (2009) dan "Django Unchained" (2012).
MAMAT KHALID - Shofi Jikan
Dia mungkin tidak menjadi watak hero, tetapi Sofi Jikan sentiasa ada dalam semua filem Mamat Khalid. Hanya Sofi yang mampu membawakan pelbagai watak 'gila' ciptaan Mamat Khalid. Dialah vokalis utama kumpulan Malaikat Maut, Zul Kapan dalam "Rock" (2005). Dia juga si Imran Hafifi yang menunggu di depan tandas akibat sakit perut dalam "Man Laksa" (2006) dan si Sopi yang ada sijil SPM dalam "Zombie Kampung Pisang" (2007). Dialah Ketua Pergerakan Bawah Tanah dalam filem "Kala Malam Bulan Mengambang" (2008), Junna yang jahat dalam "Estet" (2010) dan dukun Indonesia yang cuba menghalau Kak Limah dalam "Hantu Kak Limah Balik Rumah".
AFDLIN SHAUKI - Hans Isaac
Rakan karib sejak zaman sekolah ini seringkali bekerjasama. Kalau bukan Hans berlakon dan Afdlin menjadi pengarahnya, pastinya Afdlin pelakon dan Hans pengarahnya. Antara kolaborasi mereka termasuk "Buli" (2004), "Baik Punya Cilok" (2005), "Buli Balik" (2006), "Cuci" (2008) dan "Los Dan Faun" (2008).
DATUK PADUKA SHUHAIMI BABA - Maya Karin & Rusdi Ramli
Shumi dan Maya bagaikan lagu dan irama, tidak boleh dipisahkan sejak kolaborasi pertama mereka melalui "Pontianak Harum Sundal Malam" (2004). Pada tahun 2005, Rusdi Ramli telah ditawarkan watak dalam "Pontianak Harum Sundal Malam 2" dan menyebabkan kolaborasi mereka bertiga dalam "1957: Hati Malaya" dan "Waris Jari Hantu" pada tahun 2007.
ALLAHYARHAMAH YASMIN AHMAD - Sharifah Amani
Pernah mengatakan bahawa Sharifah Amani bagaikan Audrey Hepburn Malaysia, Yasmin terus menggunakan khidmat Sharifah Amani untuk tiga buah filemnya yang kontroversial dan menjadi sebutan ramai, iaitu "Sepet" (2004), "Gubra" (2006) dan "Muallaf" (2008).


