13 Jul – Pembikin filem Spike Lee yang pernah dicalonkan di majlis Academy Award, bersama estet Michael Jackson dan Legacy / Epic Records, sedang berada di fasa terakhir dalam pembikinan dokumentari penyanyi pop legenda yang bertumpukan kepada album "BAD" yang digilai ramai serta 'tour' di serata dunia.
Demi meraikan ulang tahun album "BAD" yang ke-25, dokumentari yang merupakan projek pertama untuk memberikan gambaran terperinci di belakang tabir ini dibuat untuk menceritakan kelahiran album yang telah menjadi ikon pada zaman itu.
Dokumentari ini mengandungi sesi temubual yang dijalankan sendiri oleh Spike Lee bersama kawan rapat, ahli keluarga, pemuzik, koreografer dan pihak terlibat yang mendedahkan cerita sebenar tentang bekerja dengan Michael sepanjang pembikinan album "BAD", serta konsert 'tour' sedunia yang dijalankan beliau. Antara orang yang ditemuramah adalah Antonio "L.A." Reid, Kanye West, Mariah Carey, Cee Lo Green dan Sheryl Crow, yang merupakan penyanyi latar ketika konsert "Tour" berlangsung.
Menurut Lee, "Saya bukan sahaja peminat setia Michael Jackson, malah saya juga berpeluang untuk bekerja dengan beliau dan telahpun mengenali beliau dengan lebih rapat. Saya sangat pentingkan kejayaan beliau sebagai raja pop dunia. Dengan projek "BAD" ini, saya berjaya membuka cerita tentang kerjaya beliau dan punca terjadinya album "BAD", yang dibuat selepas album "Thriller"."
Sebagai meraikan ulang tahun ke-25 album tersebut, "BAD 25", iaitu sebuah pakej yang mengandungi tiga CD, dua koleksi buku kecil dan DVD yang menunjukkan konsert secara langsung "BAD" yang dibuat Stadium Wembley pada 16 Julai, 1988 juga akan diriliskan pada 18 September 2012.
Butir-butir lanjut yang berkaitan dengan ulang tahun album "BAD" yang ke-25 akan diumumkan tidak lama lagi.

