31 Jul – Drama Band yang mula dikenali selepas menyertai pertandingan "Twisties Bingit" sekitar tahun 2010 semakin pantas dikenali dengan lagu cinta mereka. Mereka turut menjelaskan bahawa mereka bukan kumpulan picisan yang ada seperti di Malaysia sekarang.
Kumpulan yang dianggotai 5 orang anak muda ini mulai popular dengan lagu kedua mereka yang kini merupakan hit, iaitu "Cinta Dia".
Selepas menerima kritikan positif mengenai lagu pertama mereka yang juga merupakan lagu tema bagi drama bersiri "Juvana" berjudul "Babak Pertama", Drama Band mulai yakin dalam mengatur langkah mereka untuk menjadi penghibur sebaris dengan kumpulan lagenda seperti Wings dan Search.
Drama Band diketuai oleh Noor Syaiful Bin Md Zalaludin (Epul) 24, selaku vokalis kumpulan, Ammar Bin Habir, 23, selaku gitaris, Faeez Ikhwan Bin Abdul Halim, 22, selaku pemain dram dan seterusnya Mohd Nor Firdaus Bin Abu Bakar, 23 tahun, selaku pemain bass.
Mereka sedikit tegas apabila dikatakan mereka hanyalah sebuah kumpulan yang sama dengan hanya meniru alunan muzik dari seberang
"Kami bermain muzik adalah kerana minat, oleh yang demikian kami akan lakukan apa sahaja untuk menarik minat pendengar untuk sama-sama menyokong Drama Band ini, disebabkan permintaan mereka lebih kearah lagu jiwang, kami telah sebulat suara mencipta lagu ini sebagai single kedua kami. Oleh itu tidak ada istilah meniru di sini, cuma mengikut peredaran masa."
Epul selaku vokalis kumpulan turut menambah, "Kami tidak meniru mana-mana kumpulan, apa yang kami bawakan adalah diri kami. Langsung tiada persamaan dengan kumpulan Indonesia yang ada."
"Apa yang kami cuba elakkan adalah dari mempunyai bait perkataan dan irama yang menyerupai kumpulan Indonesia."
Kumpulan yang berusia lebih kurang 2 tahun ini turut menambah bahawa kehadiran mereka di dalam industri adalah demi minat yang mendalam dan juga menjadi punca rezeki utama mereka. Sokongan yang padu dari peminat sangat dihargai dan Drama Band sempat mengucapakan jutaan terima kasih kepada mereka yang banyak menyokong karier seni kumpulan Pop Rock ini.
Muzik klip bagi lagu "Cinta Dia" kini boleh ditonton di laman YouTube. Turut menjayakan muzik klip itu adalah pelakon drama terkenal, Almy Nadia.


