27 Okt – Ellen DeGeneres kini berada di puncak kariernya setelah berjaya mendapat Anugerah Mark Twain bagi Humor Amerika di Pusat Persembahan Seni John F. Kennedy di Washington D.C pada Isnin lepas.
Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan tertinggi kerana anugerah tersebut hanya diberikan kepada artis yang banyak menyumbang dalam dunia komedi di Amerika Syarikat.
Antara nama-nama besar yang pernah menerima Anugerah Mark Twain sebelum ini adalah Richard Pryor, Whoopi Goldberg, Steve Martin, Billy Crystal, George Carlin, Bill Cosby, Tina Fey dan Will Ferrell.
Ketika menerima anugerah tersebut, DeGeneres memberi ucapan sinis terhadap kenyataan calon Republikan, Mitt Romney yang mahu memotong dana siaran awam.
"Terima kasih saya ucapkan kepada semua orang di PBS (Perkhidmatan Siaran Awam). Saya gembira menjadi sebahagian dari majlis perpisahan ini," ujar beliau yang dipetik dari laporan ABC News.
"Semasa saya mula-mula membuat komedi berdiri, saya tidak lakukannya demi mendapatkan anugerah. Saya lakukannya kerana duit. Saya tak pernah menjangka hidup saya boleh menjadi sebaik ini. Yang saya tahu, saya ingin menjadi pelawak lesbian yang memakai seluar paracut,"kata personality berusia 54 tahun itu.
Program "Ellen DeGeneres: The Kennedy Center Mark Twain Prize" bakal ditayangkan oleh PBS pada 30 Oktober depan.


