Advertisement

Empati Bunohan Terhadap Orpheus (Atau Sebaliknya)



Ketika filem tempatan dilambakkan dengan cerita yang meraikan kebodohan, 'Bunohan' muncul membawa impak besar. Pemikiran peminat filem tegar di negara ini telah ditawan. Kehadiran sebuah filem yang memenuhi piawaian untuk dinobatkan sebagai sebuah filem yang benar-benar filem bukan sahaja merangsang suatu tengadah, malah terus dilabel sebagai penanda aras sinema tempatan. Usai tayangan perdananya tempohari, bermacam pandangan dilontarkan oleh penonton yang terdiri daripada kelompok penggiat filem, para selebriti, cendekiawan filem, pegawai-pegawai badan kerajaan berkaitan filem, individu-individu yang menggelarkan diri sebagai pengkritik filem, pengulas-pengulas filem, penulis-penulis blog, wartawan-wartawan hiburan, juga peminat-peminat poster pin-up yang kelihatan gigih mengumpul tandatangan selebriti. Beberapa orang politik dari faham politik berbeza juga turut hadir. 
 
Variasi pandangan merumuskan 'Bunohan' sebagai sebuah filem yang baik. Ada yang mengangkatnya sebagai filem terbaik Malaysia, yang kemudiannya disambung oleh seseorang yang lain dengan penyataan ‘..sekurang-kurangnya sejak dua dekad lalu’. Ada yang mengatakan 'Bunohan' adalah satu anjakan paradigma dalam sinema Malaysia. Namun terdengar pula desas-desus bahawa ramai penonton dihanyutkan ke alam kebuntuan sewaktu menonton filem ini. Faham akal mereka gagal menghadam naratifnya. Akan tetapi alir rasa yang terbit dari keindahan fotografi yang berjaya menterjemah rasa alam serta rasa yang terbit dari kekuatan lakon dapat pula mereka rasai setelusnya. Maka, lihat – dan kenali akan perbezaan menonton menggunakan mata fikir dan menonton menggunakan mata rasa. Kedua-duanya harus dikuasai. Dengannya kita mudah menyelinap ke dalam cumbu-goda estetika sesebuah filem.

EKSKLUSIF: Di sebalik tabir filem 'Bunohan' (Part I)
EKSKLUSIF: Di sebalik tabir filem 'Bunohan' (Part II)
Misteri mistik di sebalik filem 'Bunohan'


Biarpun 'Bunohan' membangkitkan kekaguman, melegar-legarkan keasyikan dan mengiang-ngiangkan kesyahduan, pada masa sama ia sebenarnya sebuah gelanggang sabung buat kita. Sutradaranya Dain Said sengaja mengatur perlawanan antara penonton dengan filem ini. Kita dipaksa menerima tipu muslihat kehidupan begitu sahaja. Akan timbul ketidakpuasan hati akibat pemaksaan ini yang kemudiannya membangkitkan rasa kecewa. Kekecewaan ini dibiarkan tanpa rawatan. Tidak ada saranan pergantungan terhadap yang lain di sini. Wujud Tuhan seolah dinafikan. Maha Kuasa dilumpuhkan oleh pengasingan-pengasingan dan setiap watak dihantar ke dalam kesendirian yang tragis. Meminjam empati terhadap Orpheus, 'Bunohan' adalah melankolia kehilangan. 
 
Mari kita tembusi alam ghaibnya pula. Komunikasi antar-alam berlaku secara langsung meskipun menggunakan bomoh sebagai perantara. Alam jin merupakan alam ghaib yang paling dekat dengan alam manusia. Apabila kelibat Mek Yah sebagai buaya putih diperlihatkan kepada kita, Dain telah membawa kita mengintai ke alam jin. Di situ kita sebenarnya boleh bertemu Mek Yah kerana dia belum mati. Ilmu buaya putih adalah salah satu cabang ilmu kebatinan yang digunakan untuk perbomohan, menjaga keselamatan diri dari onar musuh, juga bagi meningkatkan keterampilan. Pengamal ilmu ini akan tertakluk kepada perjanjian dengan jin. Dia akan mati dua kali. Mati kali pertama bukanlah sebenar-benar kematian tetapi sekadar berpindah alam. Kehidupan diteruskan pula di alam jin. Kematian di alam jin itu nanti baharulah kematiannya yang sebenar.


 
Kenapa Dain bercerita tentang Mek Yah dan buaya putih ini? Mari lihat kecenderungan paling besar dalam 'Bunohan'. Ketika kita diasyikkan oleh garis-garis horizontal dan vertikal yang dibina seawal cerita, kita patut sedari bahawa kisah tiga beradik berlainan status itu sebenarnya bermula dalam televisyen. Kisah tiga beradik itu hanyalah sebuah pola rekaan yang difungsikan sebagai transportasi kepada maksud tujuan Dain. Mereka itu kepada Dain samalah seperti patung-patung wayang kulit kepada Pok Eng. Dain sebenarnya lebih tertarik kepada lapisan realiti. Demikianlah 'Bunohan' dibentuk – sebagai cerita di dalam cerita – supaya kesedaran terhadap lapis realiti ini dapat terdaftar ke minda penonton. Setelah itu penontonan akan menjadi mudah. Untuk menebak maksud tujuan filem ini, bukanlah dengan menghayati ruang positifnya, tetapi dengan meneroka ruang negatifnya.
 
Syabas dan terima kasih tentunya buat Dain Said, Nandita Solomon, dan seluruh warga kerja 'Bunohan' kerana berjaya menghadirkan sebuah filem yang sebegini filem kepada khalayak tempatan. Walau dikata gagal dalam pengawalan antropologinya, gagal mengangkat puisi kehidupan sebenar ke layar, dan naratif yang tidak linear menguji akal sehingga menyemakkan dan menyakitkan kepala, 'Bunohan' sebenarnya telah menjawab kesemuanya. Sekadar menonton rupa bentuk sesebuah filem dan kemudiannya disibukkan dengan pemakaian dan aksesori semata-mata bukanlah pengalaman yang menggiurkan. Semoga dapat dimengerti bahawa ada yang tidak terlihat di sebalik yang terlihat. Lihatlah yang tidak terlihat itu. 
 
Pinjam kembali empati terhadap Orpheus - tentang anugerah yang diambil pergi, tentang kehilangan sesuatu yang peribadi. 'Bunohan' adalah tragedi kehilangan dan pencarian demi pencarian yang tidak berkesudahan. Atau barangkali babak Mek Yah berjalan menuju ke arah kita dengan berlatarbelakangkan piramid itu adalah kesudahannya? Tanya iman kita.