25 Jun – Pelakon remaja terkenal, Erin Malek atau nama sebenarnya Nur Arina Abdul Malek mengambil keputusan untuk berdiam diri dari mengulas isu ganja yang dikaitkan dengan dirinya.
Perkhabaran mengenai isu ganja yang membabitkan namanya telah tersebar di beberapa laman web hiburan tempatan yang mendakwa kononnya dia terlibat dengan pengambilan dadah jenis ganja ketika penggambaran drama "Mis Cinta" bulan lalu.
Dipetik dari portal hiburan Murai, Pelakon berusia 18 tahun itu berkata, tiada apa yang boleh diulasnya kerana baginya tuduhan tersebut adalah tidak berasas.
"Saya tak mahu komen lagi. Jika saya nafikan pun orang masih lagi tidak percaya dan terus-menerus menuduh saya di laman Twitter dan sebagainya.
"Sepatutnya pihak media perlu bertanyakan kepada orang yang menyebarkan berita ini, bukan saya. Maaflah, saya tidak mahu layan cerita kontroversi begini kerana ianya boleh menjatuhkan maruah dan karier saya," katanya.
Menurut Erin, berikutan gosip tersebut tersebar dia menerima pelbagai tohmahan daripada orang ramai. Katanya lagi, jika perkara ini masih berterusan dia akan mengambil tindakan sewajarnya untuk mendakwa pihak yang menyebarkan fitnah itu.


