13 Apr – Penyanyi yang mula dikenali selepas memasuki pertandingan "Malaysian Idol" musim kedua, Farah Asyikin Zulkifli, kini bergelar guru sepenuh masa di Sekolah Antarabangsa Cempaka Damansara sejak 19 Mac yang lalu.
Farah yang mengajar subjek pentas dan drama untuk tahap sekolah rendah memberitahu selepas berhijrah, kehidupannya lebih teratur dan matlamat hidupnya lebih kearah bagi memberikan sesuatu kepada generasi muda. Dia juga amat gembira setelah bergelar pendidik sekarang.
"Saya pun tak sangka saya merupakan seorang pendidik. Alhamdullilah, selepas sebulan saya berasa lebih berkeyakinan untuk memberikan sesuatu yang kreatif kepada kanak-kanak di sini. Saya akan memikirkan sesuatu yang menyeronokkan ketika sesi pembelajaran agar mereka tidak bosan."
Walaupun kini dia bergelar pendidik sepenuh masa, dia masih tetap akan menyanyi malahan kini dia sibuk dalam menyiapkan lagu terbarunya "Berpisah Untuk Setia" yang dijangka akan diriliskan minggu hadapan.
Farah turut memberitahu jika ada yang mempertikaikan tentang penampilannya memakai tudung, ia tidak akan menjadi masalah baginya kerana dia sudah pun terlebih dahulu mendapatkan nasihat daripada ustaz.
"Saya takut juga nak buat lagu balik dan menyanyi, kerana ada setengah pihak memberitahu bahawa menyanyi ini haram, namun saya telah utarakan soalan ini kepada ustaz dan dia memberitahu tidak apa asalkan ada batas."
Farah Asyikin yang berusia 32 tahun ini turut memberitahu bahawa lagu ini menceritakan sepenuhnya kisah cintanya sebelum ini.
Lagu yang dicipta dari oleh Farah sendiri dirakamkan di Indonesia dan diterbitkan oleh Andrew Darmoko.


