12 Jul – Kumpulan Forteen telah berjaya membuktikan bahawa seorang artis mampu bertahan lama walau dengan hanya sebuah lagu.
Walaupun telah menerima pelbagai kritikan dari segelintir orang, namun lagu hit pertama "Berdua Bersatu" masih bermain di corong radio tempatan dan diminati ramai.
Ditanyakan tentang pandangan mereka terhadap golongan tersebut yang sering meletakkan komen kurang enak menerusi saluran Youtube, salah seorang ahli Forteen, One menjawab, "Biasalah, sudah menjadi mentaliti sesetengah pihak. Kami sudah terima macam-macam komen di Youtube tapi kami tetap bersabar. Bila orang mengatakan yang Forteen tak boleh tahan lama, itu kami ambil sebagai cabaran dan kami ingin buktikan pada mereka yang kami berempat masih boleh bertahan sebagai satu kumpulan."
"Alhamdulillah, akhirnya Forteen berjaya buktikan yang kami boleh bertahan lebih dari setahun walau hanya dengan lagu single "Berdua Bersatu" yang masih dimainkan sampai sekarang."
Kini, kumpulan vokal bergenre pop balada kembali dengan single kedua "Seperti Dulu" yang baru sahaja diriliskan pada bulan Jun lalu. Single ini juga akan menjadi salah satu runut bunyi bagi filem "29 Februari" yang bakal keluar di tayangan pada 30 Ogos.
Di dalam sesi temubual eksklusif bersama mereka, kumpulan Forteen menyatakan bahawa mereka masih berada dalam perancangan untuk membuat album pertama yang berkemungkinan bakal diriliskan pada tahun hadapan.


