20 Jun – Pelakon, pengacara dan pelawak terkenal, Zizan Razak tidak menyangkakan watak Mael Lambong yang menjadi taruhan Jozan di "Maharaja Lawak" pada tahun 2011 telah diangkat menjadi sebuah filem di bawah arahan pengarah berkaliber, Ahmad Idham.
Walaubagaimanapun Zizan ingin mengucapkan terima kasih kepada teman baiknya, Johan di atas idea yang diberikan ketika perbincangan di belakang pentas bagi mendapatkan nama yang sesuai sehingga tercetusnya nama Mael Lambong.
Merasakan ia adalah sebuah idea yang harus dijaga, Zizan telah mendapatkan hak eksklusif idea "Mael Lambong" agar menjadi miliknya.
"Saya mahukan sebuah karya yang dicipta oleh seseorang agar ia dijaga sebaiknya. Oleh yang demikian, saya telah memastikan hak watak Mael Lambong itu adalah milik saya sepenuhnya, manakala Ahmad Idham bertindak sebagai pengarah dan penerbit filem," ujar Zizan ketika ditemui di majlis pra-tonton filem "Mael Lambong" yang diadakan di TGV Sunway Pyramid, Selasa malam.
Ujar pemenang Pengacara Paling Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2011, dia enggan melakukan sesuatu perkara kerana duit dan disebabkan itulah dia ingin menjaga keistimewaan watak tersebut agar penonton tidak bosan.
"Apa yang saya lakukan adalah demi peminat dan saya inginkan mereka berpuas hati dengan apa yang saya tampilkan dalam filem ini. Oleh yang demikian, saya dahulukan "Mael Lambong", dan jika ada rezeki, watak Ah Chai yang sinonim dengan karakter Johan akan menyusul kemudian.
"Itu semua terletak kepada rezeki Tuhan. Jika ada, adalah. Saya hanya mampu merancang dan berusaha," kata pelakon berusia 28 tahun ini.
Walaupun telah melakonkan pelbagai watak, namun Zizan merasakan watak Mael Lambong adalah yang paling sesuai dengan dirinya kerana ia adalah hasil cetusannya bersama Johan.
"Saya merasakan ia adalah permulaan kejayaan saya bersama Johan. Orang yang paling rapat dan sering melontarkan idea bernas kepada saya adalah Johan dan juga Sabri Yunus. Sudah pasti saya tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan keistimewaan "Mael Lambong" kepada pihak tertentu," jelasnya lagi.
"Mael Lambong" yang membarisi Zizan, Juliana Evans, Sallehuddin Abu Bakar dan Shenthy Feliziana akan menemui peminat di pawagam bermula 21 Jun 2012.


