30 Okt - Bakatnya tidak perlu dipertikaikan lagi apabila bergelar juara dalam pertandingan realiti Akademi Fantasi Musim ke- 9, Hazama atau nama sebenar Hazama Bin Ahmad Azmi.
Apa yang lebih menyedihkan adalah baru sahaja baru mencipta nama sebagai penyanyi dengan single pertama "Cinta Teragung", Hazama dikatakan sudah sombong dan sukar didekati peminat.
Dipetik dari laporan sebuah portal hiburan tempatan, Hazama agak terkejut apabila dikatakan sombong.
"Saya tidak suka berlagak popular, jika berjalan ke mana-mana pun saya anggap seperti orang biasa. Mungkin disebabkan saya kurang tersenyum orang terus cop saya ni sombong.
"Jika orang lihat saya di TV macam peramah namun di luar sedikit hambar, mungkin itu karakter saya. Tidak mungkin saya akan tersenyum 24 jam. Anggap sahajalah saya ini manusia biasa yang mencari rezeki sebagai penyanyi." Ujar Hazama.
Semakin yakin mengatur bicara, jejaka berusia 27 tahun ini tampak begitu berani memberitahu bahawa kini hatinya sudah ditawan.
"Jujur saya katakan, kini saya sudah mempunyai seseorang yang istimewa. Namun untuk berkahwin di dalam masa yang terdekat ini rasanya belum lagi.
"Saya mensasarkan bakal menamatkan zaman bujang sekitar umur 30 atau 31 tahun."
Walaupun mengaku sudah mempunyai kekasih hati namun Hazama tampak berhati-hati di dalam menceritakan kisah peribadinya kepada umum.
Tambah Hazama lagi, dia sudah lebih enam tahun mengenali gadis tersebut yang mahu dikenali sebagai Noor.
"Saya dan dia sudah kenal lama, Insyaallah jika benar dia jodoh saya kami akan mendirikan rumah tangga."


