Hormati tragedi MH370, Forteen tunda konsert

Hormati tragedi MH370, Forteen tunda konsert

27 Mac - Sedang rakyat Malaysia berduka cita dengan khabar sedih pengakhiran pesawat penerbangan MAS MH370, semakin ramai pihak terutama penaja konsert dan acara besar membatalkan serta menunda segala aktiviti sebagai tanda menghormati anak-anak kapal dan penumpang yang hilang di selatan lautan Hindi itu.

Ini termasuk pihak KRU Music sebagai penaja konsert "Kita 20 Forteen" yang sepatutnya diadakakan pada 29 Mac (Sabtu) ini. KRU Music memaklumkan menerusi kenyataan media bahawa konsert ini akan ditunda ke 26 April 2014 dan akan berlangsung di KL Live @ Life Centre, Jalan Sultan Ismail di Kuala Lumpur.

Kumpulan Forteen yang terdiri daripada Izzue, One, Ameer dan Ariz ini turut redha dengan penundaan konsert ini dan merasa simpati atas apa yang telah terjadi pada pesawat MH370.

"Kami memohon maaf kepada peminat terutamanya bagi mereka yang datang dari luar Kuala Lumpur yang telah membuat perancangan awal untuk hadir ke konsert ini," jelas Ariz yang dipetik dari sebuah portal hiburan tempatan.

Dalam pada itu, pihak penaja memohon maaf kepada semua pembeli tiket dan mereka diberi pilihan sama ada ingin menggunakan tiket tersebut pada 26 April atau mereka juga boleh memulangkan tiket tersebut dan menuntut bayaran semula.