Apa yang telah berlaku pada bulan September? Begitu ramai artis Hollywood membuat keputusan untuk berkahwin atau bertunang, daripada pasangan yang kita sedia maklum memang sudah lama bersama (Mark McGrath dan Carin Kingsland) sehinggalah perkahwinan yang tak disangka-sangka (Ryan Reynolds dan Blake Lively).
Antara yang mendirikan rumahtangga September lalu termasuk:
PATRICK STUMP & ELISA YAO
Vokalis kumpulan Fall Out Boy ini mengahwini teman wanitanya Elisa Yao di Chicago pada hujung minggu iaitu 29 September 2012 setelah bercinta sejak sekian lama. Malah pengurus Fall Out Boys, Dan Suh turut berkongsi kegembiraan mereka dengan para peminat di Twitter.
Perkahwinan itu turut dihadiri rakan sekumpulannya, Pete Wentz bersama kekasihnya, model Meagan Camper.
ANNE HATHAWAY & ADAM SHULMAN
Selepas empat tahun bersama, Anne Hathaway akhirnya mengahwini tunangnya, pereka barang kemas Adam Shulman di Big Sur, California pada 29 September. Lebih 100 orang tetamu turut memeriahkan perkahwinan mereka yang bermula pada hari Jumaat dengan makan malam di Ventana Inn and Spa.
Gaun pengantin Hathaway telah disediakan oleh Valentino, pereka kegemarannya.
CAT DEELEY & PATRICK KIELTY
Hos rancangan "So You Think You Can Dance" mengahwini teman lelakinya, pelawak, Patrick Kielty dalam sebuah majlis perkahwinan yang mengejut di Rom selepas sepuluh bulan bersama. Pasangan tersebut membawa 60 orang rakan serta ahli keluarga ke Rom dan melangsungkan upacara di Gereja Kolej St. Isidore.
JARED FOLLOWILL & MARTHA PATTERSON
Pemain bass Kings Of Leon, Jared Followill mengikuti jejak langkah adik-beradiknya yang lain dengan mengahwini model Martha Patterson di Charlotte, Carolina Utara. Jared dan Martha dikatakan telah berkawan beberapa bulan sebelum membuat keputusan untuk mendirikan rumahtangga.
Ini diakui sendiri oleh Martha yang mengemaskini Twitternya dan mengatakan; "Hari ini saya akan mengahwini kawan baik saya. Saya gadis yang paling bertuah di dunia."
Jared merupakan ahli terakhir Kings Of Leon yang mendirikan rumahtangga. Caleb Followil mengahwini supermodel Victoria's Secret, Lily Aldridge. Nathan Followill mengahwini penyanyi Jessie Baylin sementara Matthew Followill mengahwini pemuzik Johanna Bennett pada tahun 2009.
MARK MCGRATH & CARIN KINGSLAND
Selepas 18 tahun bersama, vokalis Sugar Ray, Mark McGrath akhirnya membuat keputusan untuk mengahwini ibu kepada anak-anaknya, Carin Kingsland pada 24 September lalu. Majlis tersebut diadakan di selatan California di mana anak kembar mereka, Lydon dan Hartley ditugaskan untuk membawa cincin dan menjadi gadis bunga.
Ini juga perkahwinan pertama Mark yang melamar Carin pada tahun 2009 ketika menyambut malam Tahun Baru di kelab Viper Room di LA, tempat di mana mereka bertemu buat kali pertama pada tahun 1994.
BLAKE LIVELY & RYAN REYNOLDS
Perkara yang tidak disangka-sangka berlaku, apabila pasangan "Green Lantern", Blake Lively dan Ryan Reynolds berkahwin secara rahsia di Boone Hall Plantation yang terletak di Mt. Pleasant, Carolina Selatan pada 9 September.
Mereka telah pun bercinta sejak Oktober 2011 dan dikhabarkan membeli rumah bersama-sama di Bedford, New York, namun tiada siapa menyangka pasangan ini akan melakukannya dengan begitu pantas dan senyap. Namun begitu, sumber menyatakan bahawa rakan karib Blake, Florence Welch (daripada Florence and the Machine) mempersembahkan tiga buah lagu ketika majlis tersebut.
Sekalipun ini perkahwinan kedua Ryan selepas bercerai dengan Scarlett Johansson pada tahun 2010, ini merupakan perkahwinan pertama Blake yang pernah berhubungan dengan pelakon terkenal seperti Penn Badgley dan Leonardo DiCaprio.
JESSE WILLIAMS & ARYN DRAKE-LEE
Bintang "Grey's Anatomy" Jesse Williams mengahwini teman wanitanya, broker harta tanah Aryn Drake-Lee di Los Angeles selepas lima tahun menjalinkan hubungan cinta. Majlis yang tradisional itu turut disaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat mereka.
Jesse pertama kali berkenalan dengan Aryn ketika dia masih lagi seorang guru sekolah di New York. Dia menganggap hubungan mereka yang terus kekal dari awal – ketika dia tidak memiliki apa-apa sehingga sekarang yang membuatkan Jesse merasakan Aryn adalah jodohnya.


