25 Jul – Pasangan yang telah mengumumkan perpisahan mereka pada Jun lalu selepas 14 tahun bersama, Johnny Depp dan Vanessa Paradis berkemungkinan akan bersatu semula berikutan siri cubaan aktor tersebut untuk menambat semula bekas kekasihnya itu.
Menurut laporan Daily Mail, aktor "The Pirates Of The Caribbean" itu telah terbang ke Perancis Selatan untuk satu percutian keluarga bersama Paradis dan dua anak mereka, Lily-Rose, 13, dan Jack, 9.
Malah Depp dikatakan telah menghadiahkan Paradis sebentuk loket emas antik berukir mesej bahawa dia sentiasa mencintainya.
"Mereka mengadakan percutian keluarga untuk menunjukkan kepada kedua orang anak mereka bahawa mereka mempunyai ikatan kekeluargaan yang utuh meskipun sekiranya kedua ibu bapa mereka berpisah ataupun sebaliknya.
"Meskipun mereka telah berpisah namun jelas hadiah yang sangat manis itu pastinya membuatkan hati wanita berusia 39 tahun itu tersentuh dan berkemungkinan kembali kepada Johnny.
"Johnny memang ingin kembali bersama keluarganya semula, dia adalah seorang lelaki yang mementingkan semangat kekeluargaan. Anak-anak adalah segala-galanya bagi Johnny," ujar satu sumber kepada akhbar The Sun.
Pasangan tersebut mengumumkan perpisahan bulan lepas yang salah satu punca perpisahan tersebut terjadi selepas Depp dikatakan menjalin hubungan cinta di lokasi dengan pelakon gandingannya dalam filem "The Rum Diary", Amber Heard, 26. Walaubagaimanapun, hubungan tersebut khabarnya terputus di tengah jalan.
Meskipun Depp dan Paradis tidak pernah berkahwin, laporan menyebut bahawa model dan penyanyi itu akan menerima €100 juta (RM391 juta) daripada Johnny yang memiliki kekayaan bernilai €200 juta (RM782 juta).
"Apa yang mereka lebih perlukan saat ini adalah untuk pergi sejauh mungkin daripada kehidupan di Hollywood dan itulah yang sedang mereka lakukan," ujar sumber itu lagi.


