Tahukah anda sesetengah kartun kegemaran anda diinspirasikan daripada watak atau pelakon sebenar? Contohnya, watak Jessica Rabbit dari "Who Framed Roger Rabbit?" diinspirasikan daripada pelakon Lauren Bacall dan watak kartun Johnny Bravo pula diinspirasikan daripada penyanyi Elvis Presley dan pelakon James Dean.
Berikut adalah antara kartun dan inspirasi yang lain.
JOSH SAVIANO & MILHOUSE ("The Simpsons")
Sebelum menjadi seorang peguam selepas tamat pengajian di Yale, pelakon "The Wonder Years", Josh Saviano mencuri tumpuan penonton melalui lakonannya sebagai rakan Kevin Arnold, si ulat buku Paul Pfeiffer. Wataknya sebagai Paul juga memberi inspirasi kepada watak rakan karib Bart Simpson berambut biru bernama Milhouse. Kedua-dua watak Paul dan Milhouse mempunyai pakaian, masalah rabun dan tujuan kewujudan yang sama – menjadi rakan karib kepada watak utama.
HARRISON FORD, TOM SELLECK & CHIP AND DALE
Sekalipun watak Chip dan Dale telah lama wujud, untuk siri "Chip and Dale: Rescue Rangers" yang telah dicipta pada tahun 1989, watak Chip dengan topi koboi dan jaket kulitnya telah diinspirasikan daripada watak "Indiana Jones" lakonan Harrison Ford. Manakala Dale pula? Baju bunga-bunganya dan sikap selambanya tentu sekali diambil daripada watak Tom Selleck dari siri "Magnum P.I."
WOODY ALLEN & ROCKO ("Rocko's Modern Life")
Ketika mereka membentangkan idea kepada Nickelodeon untuk sebuah siri animasi tentang seekor wallaby Australia bertajuk "Rocko's Modern Life", para penciptanya menggambarkan Rocko sebagai 'Woody Allen muda yang antropomorfik' seperti watak Alvy Singer lakonan Allen dalam "Annie Hall", Rocko sentiasa ditimpa masalah dalam kehidupan sehariannya.
MAURICE TILLET & SHREK
Maurice Tillet merupakan seorang peninju Perancis pada awal abad ke-20. Dia dikenali sebagai juara heavyweight dan mendapat gelaran "The French Angel" kerana tekniknya memusnahkan lawan dengan pelukan yang kuat. Jadi Tillet menjadi inspirasi dan contoh yang sesuai bagi ogre bernama Shrek ini sekalipun mereka berbeza warna.
CLARK GABLE & BUGS BUNNY
Pencipta Bugs Bunny, Chuck Jones, Friz Freleng dan Bob Clampett menyatakan mereka telah menonon sebuah filem bertajuk "It Happened One Night" pada tahun 1934. Dalam filem itu, ada babak di mana watak utama lakonan Clark Gable bersandar di pagar sambil makan lobak. Sambil mengunyah, Gable berbual dengan watak lakonan Claudette Colbert. Babak itu merupakan antara babak paling popular filem tersebut dan sekaligus mencipta sifat Bugs Bunny yang kini menjadi satu daripada karakter yang disukai peminat arnab tersebut.


