25 Okt – Naskah segar Bernard Chauly untuk filem terbarunya "Istanbul Aku Datang" benar-benar membuka mata semua penonton.
Karya beliau yang tidak pernah mengecewakan selepas drama bersiri "Gol & Gincu" dan filem "Pisau Cukur" jelas memperlihatkan usaha kerasnya dalam memartabatkan filem Malaysia ke mata dunia dengan karya yang bermutu tinggi.
Walaupun genrenya agak klise dengan nama Bernard, namun perubahan jalan cerita, pengolahan skrip dan juga perkembangan watak bagi kesemua watak di dalam filem ini memang patut dibanggakan.
Apabila ditanya sendiri mengenai cabaran yang harus ditempuhi krew produksi selama lebih dua minggu menjalani penggambaran di Istanbul, Bernard memberitahu bahawa keadaan cuaca yang sejuk dan persekitaran yang berlainan membuatkan pergerakan mereka sedikit terbatas apabila berada di sana.
"Pada mulanya cuaca biasa sahaja, tapi apabila sampai sahaja di penghujung hari kami mahu melakukan babak terakhir, cuaca jadi teramat sejuk. Pelakon saya harus berlagak biasa sedangkan ketika itu, hanya mereka sahaja yang tahu betapa sejuknya keadaan di sana.
"Cuaca yang hampir ke 2 darjah selsius agak mencabar namun para pelakon menunjukkan komitmen yang amat bagus."
Filem yang mendapat ilham daripada Rafidah Ibrahim selaku penulis skrip setelah mereka berdua pergi melawat ke Istanbul dan melihat sendiri keindahan negara tersebut yang tidak dapat digambarkan dengan kata-kata.
"Dengan adanya filem ini, pihak kami dapatlah berkongsi panorama indah di sana sambil memberikan jalan cerita cinta yang menarik," ujar Bernard yang ditemui pada malam Gala Premier filem "Istanbul Aku Datang" bertempat di Pavillion, Kuala Lumpur, semalam.
Sudah lebih dari lima kali menjejakkan kaki ke Istanbul, Bernard berkata, walaupun filem ini memaparkan jalan cerita yang agak biasa, namun dengan panorama yang indah, beliau yakin ia dapat memberi kesan di hati penonton.
Filem yang bakal menemui penonton pada 8 November ini dibintangi oleh Lisa Surihani, Beto Kusyairy, Tomok dan juga pelakon baru, Aizat Amdan.


