Keith Foo jawab kontroversi babak bersolat, baca Al-Quran

Keith Foo jawab kontroversi babak bersolat, baca Al-Quran

18 Feb – Pelakon yang semakin popular, Keith Foo tampil bagi menjawab kontroversi kerana terdapat babak dalam drama bersiri "Ariana Rose" di mana dia bersolat dan membaca Al-Quran sehingga ada pihak yang kurang senang dengan babak itu.

Menurut Keith, watak sebagai seorang Muslim sebenarnya telah membuatkan dirinya lebih mengenali agama Islam secara lebih dekat.

"Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa salah seorang kakak saya merupakan seorang mualaf dan sudah lama menganut agama Islam.

"Saya selalu bertanya tentang amalan yang dilakukan kepadanya sebagai seorang Muslim. Jadi apabila saya diberi peluang menjadi Muslim dalam sebuah drama pula, ia membuka peluang buat diri saya mendapat lebih banyak informasi tentang Islam," katanya kepada Kosmo!

Jelas Keith lagi, dia sendiri akan bertanya kepada individu yang arif telebih dahulu sebelum memulakan lakonan kerana tahu sebarang kesilapan boleh memberikan gambaran yang salah kepada penonton.

Dalam pada itu, Keith berkata, walaupun namanya kini semakin dikenali dan berjaya meletakkan namanya sebaris dengan pelakon popular lain, namun ia tidak akan membuatnya cepat lupa diri.

"Tiada perubahan ketara dalam kehidupan saya ketika mula-mula kembali ke Malaysia dahulu dan sekarang.

"Bezanya, kini saya mula didekati peminat yang ingin bergambar dan ia satu pencapaian yang sangat menggembirakan dan menjadi bukti kehadiran saya diterima ramai.

"Sokongan peminat merupakan faktor paling utama terhadap kejayaan seseorang artis. Kalau saya bersikap besar kepada dengan peminat, pastinya diri saya tidak akan dikenali ramai seperti sekarang."