16 Jun – Sebelum ini kita sering melihat persembahan mereka di acara pentas seperti konsert, majlis keramaian mahupun pertandingan. Namun agak pelik jika mendengar mereka menyanyi di atas bumbung.
Tetapi itulah dimensi baru yang bakal penonton saksikan di dalam rancangan siri muzik menarik serta terbaru di Saluran Ceria Anda yang akan mengenengahkan 14 bakat muda dan besar iaitu Estranged, Projek Pistol, Bunkface, OAG, Liyana Fizi, Diandra Arjunaidi, Najwa Latif, Akim, Nawhki & Clan, Adira, Awi Rafael, Hafiz dan Azlan & Typewritter sepanjang 13 episod rancangan itu disiarkan.
Berbeza dengan rancangan nyanyian biasa, kehadiran rancangan 'Rooftop' yang bakal bersiaran di NTV7 bermula 6 September ini akan membawa penonton untuk melihat persembahan artis-artis kesayangan mereka menyanyi di atas bumbung berlatarbelakangkan keindahan panorama Kuala Lumpur.
Menurut penerbitnya, Khairul Anuar, berkata konsep sebegini merupakan pertama di kalinya direalisasikan di Malaysia.
"Konsep nyanyian di atas bumbung sememangnya berbeza kerana ia seolah-olah menggambarkan kebebasan penyanyi tersebut dalam menyampaikan persembahan mereka selain memberi ruang yang lebih intim kepada penonton di set penggambaran mahupun di rumah," kata Khairul Anuar.
Sementara itu, bagi Pengurus Besar Produksi Hiburan Primeworks Studios, Kamarul Zamli Ramly berkata, dia teruja dalam menerbitkan konsep sebegini yang pertama kali direalisasikan produksi tempatan.
" 'Rooftop' juga membawa kami mengimbas kembali zaman kegemilangan The Beatles pada tahun 1970-an. Persembahan kumpulan The Beatles yang pernah dirakam di atas bumbung membuat kami teruja untuk membawa set ini ke dalam 'Rooftop'. Kami kagum dengan konsep mereka yang begitu bersahaja tetapi amat menarik sekali,"kata Kamarul.
Rancangan yang akan bersiaran setiap hari Khamis jam 8.30 malam selama setengah jam bukan sahaja menyajikan persembahan hebat dari para artis terkemuka malahan turut membawa penonton mengenali lebih dekat artis kesayangan mereka.


