![]() |
23 Okt – Kebanyakkan pasangan raja sehari hari ini memilih busana pengantin dengan rekaan moden yang ringkas, namun masih mengekalkan ciri-ciri klasik tradisional yang menyerlahkan lagi seri pengantin pada hari bahagia mereka. Fesyen kebaya pendek dan labuh serta berkorset mirip seperti busana pengantin Indonesia antara rekaan kini yang kian diminati masyarakat kerana keistimewaannya tersendiri.
Ini kerana, rekaannya yang tidak terlalu berlebihan dan menerapkan nilai kesopanan, amat menepati cita rasa golongan wanita timur yang bergelar raja sehari untuk digayakan pada hari persandingan mereka.
Hadir dalam pelbagai jenis fabrik, kebaya yang sememangnya dikenali sejak turun temurun telah mengalami satu evolusi yang mana selari dengan arus kemodenan dan kepesatan industri fesyen tanah air, ramai pereka fesyen yang mengangkat kebaya ke satu tahap yang lebih tinggi agar mampu untuk bersaing dengan busana-busana yang beraspirasikan barat.
Rekaan glamor, mewah dan anggun yang diterapkan pada busana itu antara ciri utama ia menjadi pilihan pasangan raja sehari.
Memang tidak dapat dinafikan, masih ramai yang berpegang teguh dengan memakai rekaan pakaian tradisional asli pada hari bersejarah, tetapi mesti diakui juga trend kini semakin berubah.
Para pereka fesyen banyak memainkan peranan penting dalam membentuk identiti kebaya pengantin. Merekalah yang menciptakan kebaya pengantin agar kelihatan lebih moden, mewah dan elegan. Rekaan dan juga gaya bentuk yang inovatif, penuh dengan inspirasi pembaharuan seperti rekaan meleret menampakkan ciri-ciri gaun moden kontemporari barat.
Reka letak dan perincian moden dipandang sebagai satu perkara penting dalam penghasilan kebaya pengantin. Rekaan seperti potongan puff pada bahu kebaya, garis leher kebaya ala Victoria, garis leher yang tidak simetri dan juga rekaan lengan ala gaya Obi-Jepun ialah contoh suntikan kelainan pada kebaya pengantin.
Labuh kebaya pengantin juga berbeza daripada kebaya-kebaya biasa, kebiasaannya labuh kebaya pengantin melepasi paras lutut dan juga buku lali.
Keindahan kebaya itu diiringi dengan padanan kain yang dipakai oleh sang pengantin. Kebiasaannya kebaya yang penuh dengan perincian batu-batuan mahupun sulaman akan dipadankan dengan kain seperti kain batik, songket, sutera, sifon ataupun satin.
Kebaya boleh dipakai sesiapa sahaja namun pemilihan kebaya haruslah berpandukan bentuk tubuh yang dimiliki. Bagi bakal pengantin yang memiliki tubuh berisi pula, anda disarankan untuk memilih kebaya yang memiliki potongan serong di bahagian bawah bagi menampakkan ilusi badan yang lebih tinggi.
Anda juga boleh memilih kebaya yang memiliki juraian belakang yang lebih panjang berbanding hadapan untuk tampak sedikit langsing.
Busana pengantin yang dilatari kesopanan memang tidak jemu dipandang malah dengan pilihan tema majlis, disesuaikan pula dengan fabrik terpilih, ia sudah tentu menambah keanggunan si pemakai.




Best Travel Stories