18 Jul - Setelah filem "The Dark Knight Rises" keluar di tayangan pada hari Jumaat nanti, maka berakhirlah sebuah kisah trilogi "Batman" yang diarahkan oleh Christopher Nolan. Pengakhiran ini akan turut memberi kesan kepada pelakon Christian Bale, yang telah memegang watak utama Bruce Wayne sebagai Batman sepanjang penglibatan beliau dalam kesemua trilogi tersebut.
Dipetik daripada akhbar harian The Star, filem trilogi bermula dengan "Batman Begins" pada tahun 2005, yang mana pilihan Bale sebagai Batman ternyata sebuah pilihan yang terbaik apabila filem tersebut berjaya mengaut keuntungan sebanyak US$372 juta (RM1.19 bil).
Berikutan dari filem pertama tersebut, "The Dark Knight" mengaut keuntungan yang lebih besar, iaitu sebanyak US$1 bil (RM3.2 bil) apabila lakonan Heath Ledger sebagai watak Joker berjaya memukau penonton, menyebabkan beliau dinobatkan sebagai pelakon tambahan terbaik untuk Academy Award selepas kematiannya akibat pengambilan dadah berlebihan.
"Saya berasa bangga dengan apa yang telah kami capai," ujar Bale di sebuah sidang media. "Ianya merupakan sebuah kenangan yang sangat penting bagi saya. Watak sebagai Bruce Wayne sangat penting bagi saya."
"Ini kali pertama saya memegang watak yang sama sebanyak tiga kali berturut-turut dan filem-filem itu sendiri telah banyak mengubah hidup dan juga kerjaya saya sebagai pelakon."
Kini, dengan berakhirnya trilogi tersebut, Nolan memberitahu bahawa beliau tidak pasti dengan projek filemnya yang akan datang. Seperti Bale, beliau juga memerlukan masa untuk merenung kembali setiap detik penglibatan beliau sebagai pengarah filem tersebut.
"Saya ingin pergi bercuti sambil merehatkan minda dan berseronok selepas ini." Katanya.


