18 Mei – Lima kumpulan dalam satu malam! Keterujaan peminat untuk menyaksikan konsert We The Kings Featuring We Are The In Crowd Live In Malaysia 2012 pada 30 Mei akan datang diteruskan dengan pengumuman tiga kumpulan muzik tempatan, Oh Chentaku, Kyoto Protocol dan Bunkface yang akan turut serta membuat persembahan pada malam tersebut.
Bakal diadakan pada jam 8 malam di Tempat Letak Kereta A, Bukit Jalil, Malaysia merupakan satu-satunya lokasi di mana kumpulan rock alternatif Amerika Syarikat, We The Kings berkongsi pentas dengan kumpulan pop punk We Are The In Crowd dalam siri jelajah Asia mereka.
Oh Chentaku turut terpilih untuk membuka persembahan konsert We Are The In Crowd di Singapura dan Indonesia.
"Kami berasa sangat teruja dan bersyukur dengan peluang yang diberikan untuk membuka persembahan We Are The In Crowd bukan sahaja di Malaysia, tetapi di Singapura dan Indonesia juga.
"Ia seolah-olah seperti kami mewakili dan mempromosi muzik Malaysia di luar negara. Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk menjelajah bersama mereka," kata Amber iaitu salah seorang ahli kumpulan Oh Chentaku.
We Are The In Crowd bakal menghiburkan peminat mereka terlebih dahulu dengan lagu hits seperti "Rumor Mill" dan "Never Be What You Want" sebelum We The Kings mengambil alih pentas dengan mempersembahkan lagu-lagu seperti "Check Yes Juliet, "Secret Valentine", "Say You Like Me" dan lain-lain.
Peminat masih boleh mendapatkan tiket biasa yang dijual dengan harga RM138 atau tiket VIP berharga RM248 melalui online di AirAsiaRedtix atau boleh dibeli di KL Life Centre dan cawangan Rock Corner serta Victoria Music.
We The Kings Featuring We Are The In Crowd Live In Malaysia 2012 dibawakan oleh Talent Harvest.


