Advertisement

Kompilasi ‘Aku Manusia Berdosa’ yang penuh tragedi


Pentas teater marhaen di Stor Dewan Bahasa Dan Pustaka baru-baru ini sekali lagi telah menjadi medan sebuah pementasan teater kompilasi terbitan Rumah Anak Teater (RAT). Pementasan teater kompilasi ‘Aku Manusia Berdosa’ itu telah menampilkan dua buah naskah skrip ‘Kampung Cetek’ dan ‘Jue & Meo’ yang ditulis oleh Nur Ahmad, dan dipentaskan pada 20 hingga 23 Januari 2012 yang lalu.


Monolog ‘Kampung Cetek’ yang mengisahkan tentang kejangkalan pemikiran penduduk di sebuah kampung di mana telah berlakunya satu tragedi seorang ibu membunuh anaknya. Manakala ‘Jue & Meo’ pula mengisahkan tentang tragedi penyesalan dan penderitaan sepasang kekasih lagenda Romeo dan Juliet selama 500 tahun selepas mereka membunuh diri.

Faisal Mustaffa selaku penerbit utama pementasan teater ini  menyatakan, bahawa ini adalah salah satu dari rangka promosi buku ‘Aku Manusia Berdosa’ yang merupakan himpunan skrip-skrip teater karya Nur Ahmad dan diterbitan oleh Merpati Jingga miliknya.

“Buku Aku Manusia Berdosa ini adalah himpunan tragedi yang dinaskah dan dipentaskan sebagai pelajaran dan pengajaran buat masyarakat dalam menangani  permasalahan dan menilai pemikiran serta pendekatan penulisnya terhadap sesuatu isu di sekelilingnya,” katanya dalam perbualan santai itu.

“Dalam rangka promosi melalui pementasan kali ini, kami memilih dua naskah dari dalam buku ini untuk dipentaskan, dan alhamdulillah sambutan dan kehadiran penonton sangat menggalakkan. Dan saya harap itu sangat membantu dalam usaha pemasaran buku ‘Aku Manusia Berdosa’ ini,” sambungnya lagi.

Menampilkan barisan pelakon hebat dan berbakat seperti Mislina Mustafa, Pekin Ibrahim dan Dira Abu Zahar, pementasan ini dilihat berjaya menarik pelbagai golongan untuk turut sama menyaksikannya. Rata-rata penonton yang ditemui menyuarakan rasa berpuas hati dengan aksi mantap lakonan ketiga-tiga pelakon ini.

Pekin Ibrahim yang membawa watak Meo di dalam ‘Jue & Meo’ ketika ditanya selepas pementasan, menyuarakan rasa berpuas hati dengan sambutan yang diberikan dan berterima kasih atas sokongan peminat-peminat teater tanahair yang hadir.

“Saya sebenarnya seorang pelakon di layar kaca dan layar perak. Ini pementasan teater kedua saya di sepanjang kerier saya sebagai seorang pelakon. Pengalaman berlakon teater tidak sama seperti berlakon untuk layar kaca dan layar perak. Mislina banyak membantu saya dalam projek ini,” katanya.

Ketika ditanya mengenai harapannya tentang pementasan ini, beliau menjawab, “Saya harap semua penonton yang datang akan mendapat ‘sesuatu’ dari tragedi yang dipaparkan di dalam dua pementasan kompilasi ni. Dan yang paling penting, jangan lupa dapatkan buku kompilasi ‘Aku Manusia Berdosa’ ini,” ujar beliau yang sangat santai dengan jenaka.



Dira Abu Zahar pula, ketika ditanya mengenai monolog ‘Kampung Cetek’ yang dilakonkannya, mengakui bahawa beliau agak tersentak apabila mengetahui harus bermonolog dengan enam watak dalam ‘Kampung Cetek’.

“Ini pengalaman pertama saya bermonolog. Sukar, tapi saya anggap ini sebuah cabaran untuk saya, dan saya langgar. Memang pada hari pertama saya sangat gugup bila melihat penonton memenuhi ruang duduk penonton. Alhamdulillah, saya dapat menyesuaikan diri pada hari-hari berikutnya,” ujar Dira.

Mislina Mustafa, seorang penggiat berpengalaman yang sudah lama berjuangan di pentas teater tanahair dan memegang watak Juliet dalam ‘Jue & Meo’, menganggap setiap usaha pementasan sesebuah karya adalah perjuangan.

“Untuk pementasan kali ini, kami menghadapi pelbagai tragedi yang sememangnya harus kami tempuh untuk sebuah hasil yang memuaskan,” ujarnya sewaktu ditemui.

Buku ‘Aku Manusia Berdosa’ kini sudah berada di pasaran. Orang ramai yang ingin mendapatkan buku ini boleh membuat tempahan online melalui http://tokobuku.fotopages.com/ atau melalui talian telefon 017-2002 944 (Faisal Mustaffa).