12 Okt – Konsert Damai Unplugged Zainal Abidin yang sepatutnya berlangsung selama dua hari terpaksa dipendekkan kepada sehari oleh pihak penganjur selepas kutipan tiket konsert kurang memberangsangkan.
Menurut penyanyi yang sudah lebih dari 30 tahun dalam bidang nyanyian ini berkata, perkara itu tidak langsung mematahkan semangatnya.
Pihak produksi ZI Production Sdn Bhd dan Zainal Abidin sendiri telah menyahut cabaran untuk memenuhi slot yang telah dibatalkan oleh produksi lain. Persiapan yang terpaksa dilakukan dalam masa yang singkat telah menyukarkan pihak produksi untuk memilih orkestra, pemuzik dan lain-lain, namun konsert yang telah berlangsung pada 6 Oktober lalu berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.
Walaupun sedikit kecewa dengan sambutan yang hambar peminat, namun Zainal menekankan objektif konsert itu tetap sampai walaupun tidak ramai.
"Walaupun 10 orang yang hadir sekalipun, saya tetap akan menyanyi dan menghiburkan. Lagipun penjualan tiket bukanlah objektif saya. Janji saya dapat sampaikan mesej kedamaian yang menjadi objektif utama konsert ini dijalankan."
Tidak dinafikan Zainal berjaya menghiburkan para penonton menerusi lagu-lagunya antaranya seperti 'Puteri', 'Damai','Hanya Di Radio', 'Kau di Hatiku', 'Suraya', dan 'Memori Luka'. Zainal juga berjaya mengembalikan nostalgia ketika zaman kanak-kanak menerusi lagu 'Gurindam' dan 'Oh Bulan'.
Walaupun usianya sudah mencecah 53 tahun, Zainal tetap memberikan persembahan mantap dan bertenaga sepanjang konsert berlangsung.
Persembahan berakhir dengan lagu duet "Ikhlas Tapi Jauh" bersama Adiba Noor yang hadir memberikan sokongan kepadanya ketika itu mendapat tepukan gemuruh daripada peminat yang hadir.


