17 Jul – Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) bakal mewujudkan kawasan khusus buat pemuzik jalanan.
Menurut laporan daripada Harian Metro, KPKK melalui Bahagian Muziknya mengariskan strategi dalam Pelan Tindakan Pembangunan Industri Muzik Malaysia 2011 hingga 2013 bagi mengadakan perkongsian pintar dalam mewujudkan kawasan khusus bagi pemuzik jalanan.
Melalui menterinya, Datuk Sri Dr Rais Yatim berkata, perkara tersebut telah pun dibincangkan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan persatuan muzik bagi merangka pelan agar golongan pemuzik jalanan diberi peluang termasuk dalam Program Akreditasi Artis Tempatan menerusi Bidang Muzik Seni Persembahan.
Menurut Dr Rais, program seperti ini dilihat mampu meningkatkan kemahiran dan penampilan pemuzik jalanan disamping mampu mengangkat pemuzik jalanan ke peringkat lebih tinggi.
"KPKK dalam perancangan untuk mengadakan "Festival Buskers" dengan menggunakan tempat yang ada di sekitar ibu negara kerana potensi yang ada pada mereka dapat menarik perhatian semua pihak,"katanya.
Tambah Dr Rais lagi, golongan pemuzik jalanan ini wajar diberi peluang dalam usaha menggilap bakat yang dimiliki mereka kerana secara umumnya, mereka ini mampu menonjol dan mampu menyumbang kepada ekonomi pemuzik.
"Melihat sendiri perkara itu, KPKK kini masih mengumpul maklumat pemuzik-pemuzik jalanan supaya mereka ini boleh didaftarkan dalam direktori pengguat seni tempatan,"ujarnya.
Sementara itu, Dr Rais meminta supaya PBT memberi ruang kepada mereka ini termasuk melesenkan pemuzik jalanan supaya mereka dapat dikawal selia dan tidak mengganggu orang awam.
Sehingga kini, sebanyak 70 pemuzik jalanan sepenuh masa telah didaftarkan dalam Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).


