28 Apr – Keunggulan trio KRU yang tidak perlu lagi dinafikan lagi, melihatkan pelbagai kreativiti dan juga pembaharuan dalam industri kreatif tanah air sejak dari tahun 1992 sehinggalah sekarang, apabila kini bakal melancarkan akademi sendiri yang berpusat di Cyberjaya.
Bakal memulakan pengajian pada 2 Julai nanti, Akademi KRU adalah institusi pengajian tinggi yang bertaraf Vokasional dimana menfokuskan kepada kemahiran animasi sekaligus mampu menambah baik tenaga animasi yang masih kurang di negara kita.
Penubuhan akademi ini turut membabitkan kerjasama Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).
Tiga program bertaraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) diperkenalkan dengan ketiga-tiga program tersebut menepati sepenuhnya keperluan National Occupational Skills Standard oleh JPK, Kementerian Sumber Manusia bagi bidang Kemahiran Kesan Khas Visual, Animasi 3D dan Animasi 2D.
Presiden Eksekutif, Norman Abdul Halim berkata, pembabitannya dalam industry hiburan ini selama 20 tahun sudah memberikan pelbagai idea dari segi animasi, filem dan muzik. Tetapi untuk menghasilkan perkara tersersebut memerlukan tenaga pakar dan dari situlah dia mengambil peluang untuk menubuhkan pusat pembelajaran sendiri.
"Kami melihat perlunya ada akademi sebegini untuk keperluan industri. Kita perlu utamakan pembangunan sumber manusia terlebih dahulu sebelum mengadakan prasarana. Perlu ada kemampuan membangunkan tenaga kerja. Industri media dan hiburan tempatan kini sedang rancak berkembang di peringkat tempatan dan bergerak ke arah penerokaan pasaran global."
Tambah Norman lagi, idea untuk menubuhkan akademi ini telah dirancang lebih kurang dua tahun lepas namun baru sekarang dapat direalisasikan dengan kerjasama MDeC, JPK dan MMU.
"Apabila kami bentangkan perkara ini kepada media, kita menerima pertanyaan dari Singapura dan Brunei, namun anak tempatan masih menjadi keutamaan dalam mengisi kekosongan akademi ini kelak. Yuran yang akan dikenakan pula adalah sekitar RM 8,000 hingga ke RM10,000 untuk pembelajaran dalam tempoh 6 bulan."
"Selama 6 bulan mereka akan diberikan latihan asas dan berpeluang menggunakan perisian yang digunakan studio KRU dan juga perisian dari luar negara. Mereka yang berjaya menamatkan kos ini mampu untuk bergelar "Junior Artist" dan memegang jawatan yang sesuai dengan kebolehan masing-masing. Kami juga ada bercadang untuk melaksanakan kos lanjutan hingga tahun 2014."
Akademi KRU juga menggunakan tenaga mahir yang sememangnya mempunyai pengalaman dalam industri hiburan tanah air. Pihak KRU akan menyediakan 5 tenaga pengajar sepenuh masa manakala 9 lagi adalah tenaga pengajar sambilan.
Bagi mereka yang mahu mendaftar atau mempunyai sebarang pertanyaan boleh e-melkan kepada hezrey.shariff@kruacademy.com sebelum 31 Mei 2012.


