26 Jul - Selepas berlakunya insiden pembunuhan di Colorado yang berkait rapat dengan filem "The Dark Knight Rises", kini satu lagi peristiwa buruk berlaku disebabkan oleh filem yang sama.
Kali ini, panggung GSC di IOI Mall Puchong dirompak dengan jumlah wang sebanyak RM 140,000 berjaya dilarikan yang mana hampir kesemuanya adalah jumlah kutipan filem pecah panggung tersebut.
Seramai empat orang lelaki bertopeng bersenjatakan parang telah mengugut dua penolong pengurus yang sedang sibuk mengira wang di bilik pejabat untuk membuka peti besi di bilik pengurus. Rompakan yang berlaku pada Selasa malam yang lepas berlaku hanya dalam 5 minit sahaja.
Seorang tukang cuci yang berada di tempat kejadian turut diberi amaran untuk tidak membunyikan sebarang alat penggera.
Walaupun pejabat dilengkapi dengan sistem alat penggera yang boleh mengecam cap jari, perompak masih mampu menceroboh kawasan panggung dan melarikan bersama wang sebanyak RM140,000, iaitu jumlah yang dikutip panggung wayang dalam masa tiga hari.
Beberapa jam selepas kejadian, salah seorang pekerja sinema berumur 17 tahun telah ditahan pihak polis untuk disoal siasat. Rompakan ini dipercayai merupakan sebuah kerja yang melibatkan orang dalaman.
Setakat ini, pihak GSC masih belum memberikan sebarang komen tentang kejadian tersebut. Namun, filem "The Dark Knight Rises" ini nampaknya telah memberikan sebuah impak yang besar kepada masyarakat setelah beberapa peristiwa yang terjadi pada baru-baru ini.


