8 Ogos – Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berpendapat watak Catwoman yang dimainkan Anne Hathaway adalah yang terbaik dalam filem "The Dark Knight Rises".
Dipetik daripada E!Online, Obama berkata, lakonan Anne Hathaway dalam filem tersebut sangat "menakjubkan".
"Saya berpeluang untuk menonton "Batman", dan beliau (Hathaway) adalah yang terbaik bagi saya. Itu hanyalah pandangan saya semata-mata," ujar Obama di sebuah kempen mengumpul dana yang bertempat di rumah penerbit filem Harvey Weinstein di Connecticut, Isnin lalu.
Aktres berusia 29 tahun itu mengakui bahawa beliau lebih rela melakukan aksi-aksi Catwoman seperti melompat keluar dari bangunan daripada memotong rambutnya untuk watak dalam filem terbarunya "Les Miserables" yang diarahkan oleh Tom Hooper.
"Walaupun saya perlu lakukan pelbagai aksi bahaya Catwoman, namun ianya tidak menakutkan jika dibandingkan dengan memotong rambut saya sehingga pendek sebegini,"ujarnya.
Sementara itu, beberapa selebriti terkenal seperti Joanne Woodward, Aaron Sorkin dan Harvey Weinstein sendiri termasuklah Anna Wintour dan Jerry Springer turut hadir pada majlis tersebut.


