Lapan cara cegah gastrik

Melewatkan waktu makan sama ada disengajakan atau tidak, adalah salah satu sebab berlakunya gangguan perut. Perut akan terasa memulas dan kembung yang mana umum mengenali keadaan ini sebagai gastrik.

Doktor pakar penyakit dalam di Hospital Siloam Jakarta, Dr. Hardianto Setiawan Ong menerangkan bahawa gastrik terjadi akibat radang atau pun perubahan fungsi pada perut seseorang.  Jelas beliau lagi, gastrik boleh terjadi akibat faktor jangkitan dan bukan jangkitan pada perut.

Secara umumnya, faktor jangkitan gastrik adalah disebabkan oleh bakteria, virus, kulat dan protozoa. Kuman Helicobacter Pylori adalah penyebab yang paling kerap ditemui pada gastrik akibat jangkitan.  Manakala gastrik bukan jangkitan pula berlaku akibat wujudnya elemen asing yang masuk ke dalam tubuh melalui makanan atau minuman lalu menyebabkan radang perut.

Sesiapa saja boleh dijangkiti kuman Helicobacter Pylori.  Semasa tubuh dalam keadaan lemah, kuman ini akan membiak dan memberikan kesan negatif terhadap tubuh.  Helicobacter Pylori boleh menjangkiti orang lain melalui makanan atau sentuhan langsung dengan pesakit. Pesakit gastrik yang disebabkan oleh bakteria ini biasanya mengalami kesakitan dalam tempoh yang panjang atau disebut sebagai gastrik kronik.

Menurut Dr. Hardianto lagi, 70% daripada pesakit gastrik ringan/dispepsia adalah pesakit gastrik fungsional yang hanya mengalami gangguan fungsi pada perut, meski pun perutnya berada dalam keadaan sihat.  Manakala 30%  lagi adalah pesakit gastrik organik yang perutnya dijangkiti kuman atau dimasuki elemen asing sehingga menimbulkan kelainan.

Kebanyakan pesakit gastrik fungsional mempunyai corak kehidupan yang tidak sihat seperti stres dan cemas berlebihan selain mengamalkan pola pemakanan yang buruk.  Pesakit gastrik ringan/dispepsia biasanya mengalami gejala seperti sakit perut, kembung, mual dan muntah, mudah kenyang serta sendawa berlebihan.

Tanpa pemeriksaan dan rawatan yang betul, gastrik boleh melarat menjadi kanser perut dan akhirnya mengakibatkan kematian. Untuk mengetahui punca gastrik, biasanya pesakit akan dianalisis berdasarkan gejala yang dialaminya selain harus menjalani pemeriksaan dalaman yang lebih lengkap. Pemeriksaan dalaman yang terbaik untuk mengesan sebarang kelainan ialah endoskopi/gastroskopi.  Pemeriksaan ini dapat melihat terus kelainan pada perut, termasuk jika ada jangkitan Helicobacter

Pylori, perdarahan, luka atau pun tumor serta malignansi perut.

Pemeriksaan endoskopi dianggap lebih efektif berbanding pemeriksaan ultrasonografi (USG) kerana ia dapat mengesan keadaan di bahagian dalam perut pesakit.  Jelas Dr. Hardianto, pemeriksaan USG tidak dapat menggambarkan keadaan perut secara jelas berbanding pemeriksaan endoskopi.

Walau bagaimanapun, pemeriksaan endoskopi hanya boleh dilakukan sekiranya perut pesakit tidak bertindak balas terhadap rawatan atau jika gastrik menyerang berulang kali dalam jangka waktu yang lama.  Berlakunya pendarahan atau malignansi di perut serta evaluasi perut pada usia lanjut juga menjadi sebab mengapa pemeriksaan endoskopi harus dilakukan.

Penggunaan antasid, sukralfat, antagonis reseptor H2 dan PPI (perencat pam proton) boleh digunakan untuk mengawal gejala dan menyembuhkan gastrik. Namun jangan sekali-kali  mengambil ubat yang dijual bebas, tanpa menjalani pemeriksaan perubatan yang mengesahkan anda menghidap gastrik.  Gastrik yang berpunca daripada kuman Helicobacter Pylori dapat disembuhkan dengan kombinasi antibiotik tetapi pesakit digalakkan untuk menjalani pemeriksaan intensif oleh tenaga perubatan terlebih dahulu.

Gastrik dapat disembuhkan, namun adalah lebih baik untuk anda melakukan beberapa langkah pencegahan seperti berikut:

1. Kerap bersenam

2. Hindari stres

3. Makan makanan yang berkhasiat

4. Banyakkan minum air kosong  dan makan makanan berserat

5. Kurangkan makanan pedas/masam /coklat

6. Tidak merokok

7. Tidak minum alkohol, kopi dan teh yang terlalu pekat

8. Makan 4-5 kali sehari, dalam hidangan kecil namun cukup kandungan kalorinya untuk sehari

 


Sumber: www.meetdoctor.com

Oleh: Putri Ianne Barus

Disemak oleh: Dr. Hardianto Setiawan Ong

Doktor Pakar Penyakit Dalam (Hospital Siloam Kebon Jeruk)